Isnin, Ogos 30, 2010

SUBUR JIWA MERDEKA MELALUI RUH RAMADHAN


SUBUR JIWA MERDEKA MELALUI RUH RAMADHAN

Oleh: Hasri bin Harun
Presiden 
Kumpulan Pengajian Islam Malaysia ,UK & Eire ( MISG-ABIM)
(Mantan YDP ABIM Selangor)
(Sedikit petikan daripada artikel asal)


RAMADAN DAN JIWA MERDEKA
Syukur alhamdulillah dizahirkan pada tahun ini kita menyambut kemerdekaan ke-53 di dalam bulan mulia Ramadan al-Mubarak. Ramadan sememangnya menyubur jiwa merdeka sebenarnya dikalangan manusia. Kemerdekaan dalam erti yang sebenarnya wajar disemai supaya kita tidak hanya memahami konsep merdeka dalam perspektif yang terhad. Merdeka daripada penjajahan adalah hanya satu daripada elemen kemerdekaan dalam Islam, namun pelbagai takrifan dan penjelasan yang timbul apakah merdeka dan kemerdekaan yang menjadi inti dan asas yang seharusnya difahami secara menyeluruh. Jika kita membuka lembaran sejarah menurut perspektif yang sebenar maka kemerdekaan ini adalah suatu topik yang cukup luas untuk dibentangkan. Justeru kita bersyukur kerana berada didalam suasana keislaman. Moga Ramadan ini sedikit sebanyak membuka bibit kefahaman untuk menelusuri erti merdeka yang sebenarnya. Maka ianya secara jelas bahawa merdeka yang kita sambut ini tidak haya akan dijiwai sekadar satu sambutan fizikal tetapi lebih menyeluruh adalah satu tuntutan keagamaan, sosial dan kenegaraan. Persoalan yang sering timbul adalah bagaimana kita hendak melihat generasi baru hari ini menghayati erti merdeka jika mereka tidak disemai dengaj jiwa kerohanian dan keagamaan . Lantaran kita lihat mereka hanya melaungkan merdeka tetapi jika diselidik kesedaran dan kefahaman adalah jauh daripada inti dan asas merdeka yang sepatutnya menjadi teras dalam jiwa dan sanubari.

Ramadan adalah bulan taqwa. Didalam bulan inilah Allah SWT menjanjikan pelbagai rahmat dan keampunan kepada hambanya yang benar-benar meyakini akan keesaanNya disamping melaksanakan tugas dan tanggungjawab melakukan ibadah kepada nya. Apakah hubungan taqwa dalam konteks Ramadan dalam menghayati merdeka dan kemerdekaan. Taqwa bermaksud menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat manakala Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dalam riwayat imam Bukhari dari Abdullah ibn Abbas dengan sabda baginda “Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”. Bagaimana kita hendak menyubur semangat taqwa dalam diri generasi baru hari ini agar makna merdeka yang mereka fahami tidak tersasar. Taqwa itu maknanya mentaati perintah Allah. Mari kita lihat apakah kita mendidik generasi kita mentaati perintah Allah? Dalam suasana hari ini betapa banyak kes-kes buang bayi berlaku. Ancaman demi ancaman yang menjadi serangan dalam masyarakat telah membangkitkan kesedaran bahawa perlunya proses islah dikalangan generasi muda bagi menjauhi amalan zina. Justeru amalan zina yang kita lihat ini haruslah bermula dengan kefahaman Ilmu, mengurangkan pergaulan bebas dikalangan generasi muda lelaki dan wanita. Ia juga difahami dalam konteks ruh islami iaitu mencegah daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. Apakah kita benar-benar mentaati perintah Allah jika kita yakin untuk memerdekakan diri kita atau sebaliknya. Jika kesedaraan agama ini diabaikan, perintah Allah ini sekadar dipinggiran mana mungkin kefahaman merdeka sebenarnya akan berlaku dalam jiwa. Anjurlah berpuluh-puluh program kemerdekaan jika ianya disalut dengan amalan yang tidak berteraskan agama dan kerohanian, merdeka yang ditanam tersebut hanya kulit sahaja. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 92 yang bermaksud:

“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya). Oleh itu jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.”


BAGAIMANA MENSYUKURI NIKMAT MERDEKA
Kita selalu diingatkan supaya mensyukuri nikmat kemerdekaan oleh pemimpin-pemimpin besar. Persoalan sekarang bagaimana kita hendak menzahirkan kesyukuran tersebut agar ianya benar-benar memberi kesan dalam jiwa generasi muda hari ini? Mari kita renung firman Allah dalam surah al-hajj ayat 41 sebagai manifestasi menyubur ruh Ramadan dan mensyukuri nikmat merdeka : ”orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan shalat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.”

Pertama: mendirikan solat adalah satu tuntutan agama yang menjadi teras mensyukuri nikmat merdeka. Jika generasi muda tidak mendirikan solat bererti mereka tidak mempunyai ruh untuk meyakini akan semangat merdeka secara menyeluruh. Maka kempen solat dan mengimarah masjid-masjid adalah perlu digerakkan supaya mereka melaksanakan solat . Ianya mesti diperkasa moga generasi ditanam semangat dan ruh solat agar mereka meyakini akan kesyukuran merdeka. Bagaimana mereka hendak bersyukur dengan kemerdekaan jika amalan wajib seperti solat ini diabaikan. 


Kedua, elemen menunaikan zakat adalah juga perkara yang harus menjadi amalan dikalangan generasi muda jika mereka hendak mensyukuri nikmat merdeka. Menunaikan zakat ertinya mengeluarkan harta untuk membantu orang lain. Ianya bererti Islam melatih generasi muda supaya menerap semangat patuh kepada perintah Allah dengan membantu orang lain atas kejayaan hasil daripada harta kita. Perkongsian inilah menjadi teras kesyukuran nikmat mereka. Jika generasi dilatih bersikap individualisitik,mencari kekayaan untuk diri dan keluarga semata-mata mana mungkin usaha membantu orang lain dalam Negara yang merdeka dapat dilakukan maka akan meningkatnya kemiskinan dan kadar kemiskinan juga pastinya bertambah. 


Ketiga, melebarluaskan elemen amar makruf nahi mungkar. Inilah juga satu usaha bersepadu untuk generasi mengangkasakan harapan mereka kepada Negara supaya gejala sosial dapat dibanteras. Jika generasi muda sambil lewa, tidak mengambil berat soal akhlak, sosial , terjebah dengan gejala yang bercanggah dengan islam, ingkar dengan perintah agama daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah, tidak menggalakan orang lain melakukan dakwah dan sebagainya mana mungkin kesyukuran itu mampu diletak dipersada. Melatakan amar makruf nahi mungkar adalah satu usaha bersepadu yang digembeling dalam bulan Ramadan harus diperkara dan digerakkan bahkan jika dapat dijadikan agenda perdana maka inilah salah satu usaha mendidik umat agar memahami akan tanggungjawab cintakan Negara. Amar makruf nahi mungkar sebenarnya menanam jiwa kasihkan bangsa, tanahair serta tidak mahu melihat Negara terjerumus dengan gejala yang tidak baik. Bila generasi terdidik dengan semangat amar makruf nahi mungkar maka inilah juga satu langkah menanam semangat merdeka, cintakan Negara dan tidak mahu melihat segala kebaikan yang subur di negara dinoda oleh ancaman yang tidak baik.


(Sumber : http://abimselangor.blogspot.com/ )

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah:-

I rest my  case!

Tiada ulasan: