Memaparkan catatan dengan label PEPIAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PEPIAS. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 06, 2009

Risalah Usrah

Buku 'Kebangkitan Generasi Salahuddin & Kembalinya Al-Aqsa Ke Pangkuan Islam'karangan Dr. Majid Irsan Kailani yang diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan baru sahaja dilancarkan pada 7 Mac 2009 dijadikan rujukan dan teras pengkajian bagi setiap ahli Grup Jil Salahuddin Al-Ayyubi (GJSA).

Fikrah:-
1) Buku ini menjadi bahan teks utama usrah ABIM untuk tahun ini, di samping risalah usrah yang lain.

Ulasan buku:-

'Apa yang menarik buku ini ialah mengenai testimonial kejayaan Salahuddin merampas Baitul Maqdis bermula dengan pengaruh Imam Al Ghazali, yang hidup sebelum itu lagi.

Imam Al Ghazali, Hujjatul Islam, telah membina satu kerangka pemikiran yang harmoni, berpandukan epistemologi ilmu yang jernih dari agama, melahirkan gagasan Islah yang meresap pemikiran generasi selepas itu.

Hampir 2-3 generasi selepas Al Ghazali, kemudian disambut oleh Sheikh Qadir Al Jailani, yang menubuhkan madrasah penting, yang melahirkan ramai alumni Madrasah Al-Ghazali. Kemudian mereka ini yang menduduki kerusi penting dalam pentadbiran negara, mufti agama, panglima tentera dan guru agama. Sheikh Nuruddin Al Zanki, khalifah yang ada ketika itu terkenal dengan sikap zuhud dan alimnya, telah membuka jalan kepada kelahiran Salahuddin Al Ayubi yang memimpin tentera umat Islam yang akhirnya berjaya merampas Baitul Maqdis.

Ramai yang mungkin melihat sosok Salahuddin dan Al Ghazali secara keperibadiannya, dan tidak nampak kaitan antara dua tokoh ini. Buku Dr Majid adalah testimonial yang relevan untuk kita kaji dan ambil iktibar. Testimonial ini dapat menyingkirkan sindrom menunggu 'hero' yang akan menyelamatkan umat Islam, tatkala diserang pelbagai penjuru hari ini.

Apabila cara kesinambungan legasi Al Ghazali membina generasi Salahuddin dapat diambil iktibar, sebenarnya kita boleh terlibat sekali dalam proses islah tersebut, tidak semestinya menunggu dengan hampa siapa yang menyelamatkan umat Islam.'

- Mohd Hilmi Ramli, Presiden PKPIM




Maklumat penting:
Tahukah anda?

  1. Dari segi persenjataan, Israel berada di tangga ke-4 selepas AS, China & Britain. Untuk Perang Gaza, AS membantu Israel dengan 60,000 tan senjata.

  2. Pejuang HAMAS berjumlah 15,000 orang. Askar Israel 130,000 dan askar simpanannya 400,000 orang.

  3. HAMAS membina roket daripada bahan-bahan buangan. Badan roket daripada bekas tiang elektrik. Kabelnya daripada kabel di rumah-rumah. Bahan bakarnya daripada gula.

  4. Israel mendakwa memusnahkan hampir semua terowong (200 buah). Hakikatnya Gaza mempunyai 800 terowong dan 200 terowong yang rosak itu akan dibaiki dalam tempoh 3 bulan sahaja.

  5. Dalam Perang Gaza, HAMAS melancarkan 900 roket ke Israel, iaitu hanya 1 % daripada keseluruhan roket HAMAS.

Ahad, September 13, 2009

Kenyataan Media-Jaga Hubungan Baik Malaysia-Indonesia: ABIM Gesa Hentikan Provokasi

Kenyataan Media-Jaga Hubungan Baik Malaysia-Indonesia: ABIM Gesa Hentikan Provokasi

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat terhadap tindakan provokasi yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, berhubung beberapa isu serta insiden yang membabitkan hubungan baik dua hala di antara kedua-dua negara semenjak kebelakangan ini. Ini memandangkan provokasi-provokasi tersebut boleh menjejaskan hubungan erat yang sedia terjalin di antara kedua negara serumpun semenjak sekian lama.

Di samping itu, ABIM menilai provokasi-provokasi ini telah memperlihatkan ceteknya pengetahuan dan kurangnya kefahaman terhadap persamaan budaya dan nilai masyarakat yang dikongsi di antara kedua-dua negara serta rantau Melayu keseluruhannya, sepertimana yang telah dibuktikan oleh fakta dan realiti sejarah. Bahkan, laungan slogan serta tindakan provokatif seperti “Gayang Malaysia” serta insiden “buluh runcing” jelas tidak menggambarkan amalan budaya hormat menghormati, berbudi bahasa, saling bantu membantu sudah sebati di kalangan sebahagian besar masyarakat di kedua-dua negara. Sejarah lampau telah membuktikan tindakan-tindakan sedemikian boleh mencetuskan ketegangan serta boleh mengakibatkan keadaan huru-hara sekiranya ia tidak ditangani dengan tegas dan penuh hikmah.

Justeru, atas semangat perkongsian agama dan budaya yang sama, ABIM menyambut baik usaha yang yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kedua-dua negara untuk menangani isu-isu berkaitan menerusi saluran diplomatik yang sedia terjalin di antara kedua-dua negara.

Mengambil kesempatan ini, ABIM menyeru rakyat di kedua-dua negara agar tidak terpengaruh dengan dakyah yang cuba dilakukan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, di samping meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada usaha diplomatik yang dibuat oleh kerajaan kedua negara serta tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua Negara semenjak sekian lama.

"Demi Kebenaran & Keadilan"

Khairul Faiz Morat
Naib Presiden Antarabangsa ABIM
11 September 2009 / 21 Ramadhan 1430h

Rabu, September 09, 2009

Kenyataan Media - ABIM Memandang Serius Teguran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

ABIM memandang serius teguran yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan. Teguran berkaitan kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Said berhubung kes bunuh diri 11 suspek Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong sejak ia ditubuhkan. Kenyataan tersebut tidak membantu hasrat SPRM untuk membersihkan namanya dari imej buruk yang terpalit ketika ini. Ia memburukkan lagi keadaan seolah-olah kes bunuh diri merupakan satu tindakan yang tidak dapat dihalang ketika soal siasat berkaitan rasuah dilaksanakan.Jika itulah anggapan yang cuba diberikan oleh Ahmad Said ternyata beliau cuba mempengaruhi siasatan terhadap kematian Teoh.

ABIM menggesa agar Ahmad Said meminta maaf terhadap keluarga mendiang bagi menggambarkan kekesalan atas ketelanjuran yang berlaku. Ia bukan saja kesalahan dari sudut moral tetapi juga tidak mengamalkan semangat 1 Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


Menegakkan Kebenaran & Keadilan

AMIDI BIN HAJI ABDUL MANAN
Timbalan Presiden ABIM
8 September 2009/ 18 Ramadhan 1430H

Ihya Unnahar Imarah Ramadhan 1430H

Banner program; (boleh diguna semula tahun depan :-)


Ustaz Azman mengimamkan solat sunat Dhuha dan Tasbih.


Peserta wanita mendengar dengan khusyuk


17 Ramadhan 1430 Hijrah, bersamaan 7 September, 2009, hari Isnin. Dalam keheningan pagi hari Nuzul Quran, di mana seluruh sekolah di negeri Selangor bercuti, kelibat remaja-remaja dalam lingkungan umur 13 sehingga 18 tahun, datang seorang demi seorang, sehinggalah sejumlah 70 orang peserta dan 10 fasilitator berkumpul, seterusnya mulakan majlis ilmu meraikan hari siang dalam Ramadhan (ihya un-nahar). Bertempat di Balai Taqwa, SMK Telok Panglima Garang, program ini dapat dijalankan dengan kerjasama PAID Kuala Langat, dan ABIM negeri Selangor.

Sekalung penghargaan kepada Panitia Pendidikan Islam SMKTPG, terutama tuan pengetua, Tuan Nordin b Saad atas sokongan dalam menjayakan program ini. Memang benar, ia dimulakan dengan keadaan yang sangat saat akhir. Namun atas komitmen dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh 12 orang urusetia program, yang juga bekas peserta KKPI (Kem Kepimpinan Pelajar Islam) sentuhan dari PEPIAS satu ketika yang lalu, serta kerjasama erat dari sahabat ABIM Kuala Langat menjadikan program ini satu kenyataan. Alhamdulillah..

Sekalung penghargaan juga kepada Ustaz Nazar(PAID), Ustaz Azman, Saudara Kamarul Azami, Saudara Khairudin Abas, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan keluarga, Saudari Syida, Cikgu Kowangid, Cikgu Hjh Muna, Cikgu Shela, dan sahabat ABIM Kuala Langat, atas usaha kalian bagi membantu memudahkan urusan dan melancarkan program ini. Semoga Allah Taala memberikan kita semua ganjaran pahala untuk dibawa ke akhirat nanti.

Sebagai rekod, antara isi modul dalam program ini adalah seperti berikut:-
  1. solat Tasbih, dan solat Dhuha, serta tazkirah - Ustaz Azman
  2. Iktibar Ramadhan - Saudara Kamz
  3. Tahsin Solat - Saudara Kamz dan Cikgu Radin
  4. LDK Amali solat dan Fardhu Ain - Fasilitator Syabab Kuala Langat (PEPIAS)
  5. Isu semasa Remaja - Cikgu Radin
  6. Solat Maghrib - Saudara Khairudin
  7. Solat Isya dan Tarawih - Cikgu Kowangid
  8. Tazkirah - Uztaz Zawawi
  9. Penutup - Tuan Nordin Saad (Pengetua)

Peserta sedang mendengar ceramah dengan penuh perhatian.



Peserta sedang bertadarus Al-Quran





Iftar bersama dengan YDP ABIM Selangor

Selasa, September 01, 2009

Apa Ada Dengan MLTR ?

Apa Ada Dengan MLTR ?
KONSERT MLTR,PELANJUT FAHAM ARISTIPUS


Bulan kemerdekaan datang lagi. Malah lebih beruntung, sambutan merdeka tahun ini disambut bersama keberkatan bulan Ramadhan. ABIM Negeri Selangor mendoakan agar merdeka tahun ini disambut dengan penuh kerahmatan dan kesyukuran.

Bagaimanapun keberkatan berganda ramadhan dan kemerdekaan dicarikkan dengan berita satu konsert artis barat .Konsert MLTR yang dijangka berlangsung pada penghujung bulan ini bertempat di arena of stars Genting.

Maka ramai umat Islam tertanya-tanya apa perlunya, konsert itu diadakan pada bulan ramadhan. Walaupun sebahagiannya beranggapan, tiada masalah konsert itu diteruskan. Bukannya dilakukan di kawasan majoriti Islam, bahkan tidak ada paksaan untuk umat islam untuk menyaksikan konsert tersebut.

Benarkah begitu ?
Penganjuran Konsert ini memberikan tanda jelas kepada ABIM Negeri Selangor kepada beberapa isu utama;

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

1. Patriotisme yang semakin lemah

Hari kebangsaan adalah suatu kesempatan untuk kita menggilap semangat patriotik, hubbul watan atau cintakan tanah air. Patriotisme adalah manifestasi rasa cinta dan tanggungjawab terhadap bangsa dan negara seperti yang disebut oleh Prof. Ismail Al Faruqi : “ Patriotisme adalah suatu yang positif dan digalakkan dalam Islam. Berbakti kepada bangsa dan berkhidmat kepada negara dengan jujur dan amanah merupakan satu kewajipan menurut Undang-undang Islam. Pengabaian atau pengkhianatan terhadap tanggungjawab tersebut dianggap sebagai kesalahan yang membawa hukuman duniawi dan ukhrawi”.

Muhammad Iqbal, seorang pemikir dan filosof yang ulung, juga mempunyai pandangan yang positif terhadap patriotisme. Beliau mengungkapkan : “ Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia dan mempunyai tempat di dalam moral manusia. Namun yang paling penting sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaanya dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan makna yang seharusnya dibawa dalam hidup dan mati kita, bukan sejengkal tanah dimana jiwa manusia kebetulan dihubungkan untuk sementara waktu.”

Bangsa yang berjiwa merdeka adalah bangsa yang sensitif dengan maruah dan martabatnya. Mereka tahu betapa mahalnya maruah dan martabat itu. Penganjuran konsert Avril merupakan manifestasi dari terhakisnya semangat patriotisme dan suburnya kembali penjajahan budaya yang membeliti minda dan pemikiran kita.

Sekadar catatan, pada pembukaan gilang gemilang Sukan Olimpik Beijing 2008, Presidennya Hu Jintao menyampaikan ucapan dalam bahasa ibundanya. Menyedari impak sukan Olimpik yang disaksikan oleh berbilion penduduk dunia itu, pastinya akan menampilkan kehebatan, kebanggaan, dan jati diri sesebuah bangsa kepada dunia. Ironisnya , dimanakah kedudukan bahasa dan budaya kita hari ini ?

Bangsa yang berjiwa merdeka adalah bangsa yang kaya dengan cita-cita dan daya usaha. Mereka tahu apa yang harus dikerjakan tanpa dikerah , tanpa diperintah. Mungkin kerana menyedari hakikat wujudnya jiwa hamba anak jajahan itu, Al marhum Dr Burhanuddin Al Helmi ketika mengobarkan semangat kebangsaan telah memberikan perhatian khusus kepada aspek pembinaan jiwa merdeka sebagaimana yang tersirat dalam ungkapan puitisnya, “ Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa Merdeka “. Sehubungan dengan itu kita seharusnya bersedia untuk membongkar dan melempar segala unsur-unsur jiwa hamba yang masih tersisa itu. Selayaknya jiwa hamba hanya merupakan pengabdian makhluk kepada khaliknya.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

2. Budaya hedonisme melampau

Sebelum ini bagaikan tidak sah acara kemerdekaan tanpa sambutan konsert dan pesta-pestaan. Entah dimana silapnya , erti kebudayaan nampaknya kian dangkal dan sempit. Seolah –olah acara kebudayaan yang terbayang ialah joget lambak, dikir barat dan seni hiburan lainnya. Memang hal-hal begitulah yang selalu mengisi acara majlis-majlis yang membawa nama kebudayaan. Walhal kebudayaan bukan cuma seni dan bukan sekadar hiburan. Ia adalah suatu yang lebih serius, dengan bidang cakupannya yang amat luas meliputi aspek falsafah, pemikiran, ilmu, kesenian, artifak dan aspek-aspek cara hidup lainnya.

Apa perlunya lagi kita mengadakan konsert dari barat itu sedangkan tanpa konsert itu pun MLTR bersedia diakses melalui kecanggihan teknologi yang pelbagai ! Apakah yang diharapkan dari penganjuran konsert seperti ini? Keuntungan ekonomi atas nama produk pelancongan ? atau hanya untuk keseronokan semata-semata? Inilah faham hedonisme yang menurut pengertian Kamus Dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Menyoroti sejarah lalu , fahaman hedonisme didukung oleh Aristipus , salah seorang murid Socrates. Hal ini merujuk kepada pertanyaan Socrates kepada beliau tentang tujuan terakhir bagi kehidupan manusia atau apa yang terbaik untuk manusia. Aristipus kemudiannya menyatakan yang terbaik untuk manusia adalah kesenangan.

Idea ini kemudiannya dikembangkan oleh Epicurus dengan mengatakan tujuan hidup adalah untuk kesenangan dan kedamaian. G.E Moore dilihat sebagai tokoh kontemporari hedonisme. Beliau berkata : “Konsep baik yang bertitik tolak kepada keseronokan dan tidak ada yang baik kecuali keseronokan dan hanya keseronokan sahaja yang menjadikan kebaikan sebagai satu matlamat”

Cukuplah kita meraikan sambutan Kemerdekaan dengan acara-acara hiburan. Pengisian merdeka masih gah tanpa sambutan pesta-pestaan mahupun konsert. Pengisian merdeka harus di renungi dan dihayati oleh setiap dari kita. Kita yang bakal mencorak dan mewarnakan masa depan negara kita. Cukuplah 50 tahun kita menyambut kemerdekaan dengan konsert !

Ada orang berkata, anak muda! budaya popular kunjungannya hanya semusim, masa edannya akan berakhir bila sampai seruan taubat! Tapi apakah kita harus lupa bahawa generasi tua hari ini yang terdiri daripada kelompok penting pembuat dasar, pemimpin , orang yang diberi amanah dan tanggungjawab adalah cerminan dari dari budaya masa lalu, dari a-go- go, yankies, hippies, raggae, rock, punk, dan segala macam budaya popular. Maaf , bukan semua, tetapi tidak pula menafikannya.

Konsert MLTR dan apa jua konsert yang sewaktu dengannya akan memberi makna yang signifikan terhadap budaya kita. Dalam era globalisasi, sudah tentu kita tidak terlepas dari unsur-unsur luar. Tidak bererti menolak konsert ini bermakna kita menolak segala yang bersikap asing. Yang perlu ada ialah kemampuan kita untuk bersikap kritis dan selektif dalam memilih yang mana serasi dan mana yang bertentangan dengan budaya kita.

Dalam hal ini Kementerian yang berkaitan , harus mengembangkan dan meluaskan lagi wawasan budaya dengan lebih jelas dan komprehensif. Negara kita tidak kurang mempunyai artis-artis, seniman-seniman, saterawan, budayawan yang berpotensi dan hebat. Mengapa tidak sahaja kita bentuk mereka mengikut acuan kita sendiri ?

Mudahan-mudahan penat lelah mereka yang telah merumuskan dasar Kebudayaan Kebangsaan yang bercirikan kepribumian dan keIslaman itu akan punya makna dan harga yang setimpal. Negara kita adalah tanggungjawab kita.

Ini merupakan suara anak-anak muda pasca merdeka . ABIM Negeri Selangor rindu dan ingin sekali mendengar suara-suara budayawan, seniman-seniman, cendiakawan, agamawan, mufti-mufti memberikan pandangan. Suara yang merentasi dan melewati sempadan politik, bahasa dan bangsa. Ini bukan soal ada apa dengan MLTR. Ini Soal ada apa dengan kita
?

Hazlina Abd Razak
Pengerusi Darul Wardah
Angkatan Belia Islam Malaysia Selangor
Anjung Berkat,
226 Wisma MAIS, Seksyen 3
Shah Alam
019-2774175 ,
lina4570@yahoo.com

Ahad, Ogos 23, 2009

Catatan untuk aktivis dakwah (sempena Ramadhan)

assalamualaikum wrt wbt,

Ana mendoakan semua sahabat perjuangan dan aktivis dakwah berada dalam sikon sihat wal afiat dan sejahtera. Di dalam suasana bencana wabak penyakit bergentayangan sekarang ini eloklah kalau kita meningkatkan amalan spiritual memohon perlindungan dari yang Maha Esa lebih dari biasa.

Sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, ana dan Keluarga mengucapkan Ramadan Kareem dan bersama-samalah kita membangunkan bulan puasa ini dengan amalan-amalan ibadah dan sedekah jariah.

Sebagai aktivis dan penggerak dakwah dibumi 1Malaysia ini marilah kita bermuhasabah untuk diri kita agar "Dakwah diutamakan, Jamaah didahulukan" .

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

1. Berapa banyak masa,harta, tenaga yang kita telah peruntukkan untuk membantu menggerakkan kerja-kerja dakwah seperti membantu saudara-saudara baru yang bergelut untuk mempertahankan iman mereka dari gangguan dan tekanan pihak-pihak yang berkenaan? tidak hairanlah semasa konvensyen Dakwah Non Muslim semalam ( ramai ahli ABIM yang tidak dapat hadir ) ada peserta muallaf yang mengadu hanya melihat 30% sahaja kebaikan Islam di dalam kehidupan bersama orang Melayu di Malaysia.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

2. Berapa banyak minda kita diperuntukkan untuk memikirkan masalah umat Islam di persekitaran lingkungan kita? atau kita banyak menghabiskan masa kita untuk memikirkan tentang diri sendiri sahaja. Mungkin ada hanya sibuk hendak menukar langsir baru ketika ada saudara yang susah berlangsirkan kain guni dan kain perca.Mungkin ada yang memikirkan untuk menukar sport rim kereta baru ketika ada saudara yang susah tidak mampu membeli segenggam beras untuk keluarga.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

3. Sebagai qiadah dakwah yang telah diberi amanah, setiap hari mesti ada sesuatu kerja dakwah dan memikir tentang permasalahan dakwah dan gerakan dakwah. Syaitan dan iblis sentiasa melakukan kerja anti dakwah dan kerja kotor nya untuk menghalang mujahid dakwah dari bergerak dan berfikir tentang dakwah. Kita kena kuat dan tegar merungkai belenggu syaitan dan godaan iblis dari menunaikan amanah dakwah. apakah kita sudah ada jawapan yang kita akan berikan kepada Allah diakhirat nanti? Entah-entah soalan malaikat dikubur pun kita tak terjawab.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

4. Justeru, ketika semua syaitan dan Iblis ditambat, marilah kita bangkit dan bergerak kehadapan untuk memimpin dan membangun umat yang memerlukan. Sesungguhnya andalah yang terbaik dan terhebat untuk melaksanakan kerja dan misi ini kerana anda sangat istimewa di Allah ketika anda berusama meningkatkan Takwa.

Kalau bukan kita, siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi...

5. Ampun maaf sebanyak-banyaknya atas kelemahan dan keterlanjuran diri.

RAMADAN KAREEM.
ALLAHU AKRAM

TAKBIR !

YDP ABIM SELANGOR 2009/2010


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah:-
1) Insafnya tuan.... InsyaAllah, ana bergerak sekarang!


Selasa, Jun 16, 2009

B-E-L-I-A

B-Berani
Belia seharusnya berani. Berani kerana benar, takut kerana salah. Berani bukan berani yang memBABI BUTA, dan memBUTA TULI. Itu berani yang sia-sia dan bertuankan nafsu. Apa sahaja yang bertuankan nafsu akan diakhiri dengan kekesalan. Biasanya, belia sangat mudah terjebak di antara skala berani benar dan berani babi! Kerana itu, lumrah belia. Darahnya masih muda, masih panas; masih mahu melakukan apa yang tidak pernah ditemuinya, dan dirasainya. Kalau pernah perit berhadapan dengan sesuatu, dan masih mahu lagi merasainya lagi, itulah keberanian. Ia penuh dengan risiko.

E-Emosi
Belia tidak lepas dari terpengaruh dengan emosi. Kebijaksanaan emosi perlukan belaian dari akal yang matang, dan jiwa yang diisi dengan ilmu dan makrifat. Hantaran emosi yang meluap-luap dan rasa empati yang tinggi, menjanjikan belia aktif secara reaktif dan juga proaktif terhadap apa yang ditimpa oleh orang yang punya erti dalam hidupnya. Namun, emosi juga ada tinggi dan rendahnya. Terpulang pada jiwa yang berisi tadi untuk mengawalnya. Emosi boleh jadi hangat; sehangat api cinta laila dan majnun. Emosi boleh jadi dingin; sedingin iceberg yang tidak akan memunculkan diri dan rela tenggelam dan menenggelamkan kapal yang melanggarnya. Ia penuh dengan ketidaktentuan.

L-Latihan
Belia adalah kumpulan manusia yang umurnya masih mentah; Baru lepas dari bangku sekolah, baru kenal dunia, tanpa bekal yang cukup untuk semua perkara. Lantas, latihan dari pelbagai arena dan lapangan harus dibekalkan; walau sekecil mana ia kelihatan; Sedangkan yang emas usianya pun masih kurang pengalaman, inikan pula timah yang mudah dilentur. Latihan yang berkesan dan benar akan menjadikan belia semakin berharga dan bernilai dari kaca mata dunia. Sekiranya jurulatih pula yang beri ilmu Falasi; yakni ilmu sesat dan penipuan, maka itulah juga yang akan ditelan oleh belia ini. Yang pasti, belia harus dikaitkan dengan latihan. Belia yang tidak punya latihan, adalah satu kehinaan atas sifat kehambaan kepada nikmat Muda, dan nikmat Tenaga Fizikal, juga nikmat Akal yang segarn dari yang Esa. Maka, kekallah mereka dalam kejahilan dan kesesatan yang nyata.

I-Idealis
Belia cerdas dengan idea yang segar; penuh optimis dan positif. Yang benar, tetap benar, Yang salah, tetap salah; Tidak ada selok-belok dalam soal keadilan dan kebenaran. BEgitu juga dengan segala yang sifatnya sejagat. Belia tidak ada apa yang perlu diselok-belokkan, kerana tidak ada apa yang perlu dipertahankan. Kenyataan belia adalah tulus dari buku yang dibaca, dan ilmu yang dipakukan oleh jurulatih dan ilmuan yang mengisi jiwa dan akal mereka. Penting untuk bersikap sangat kritis dalam menilai suatu keadaan, sama ada yang baik rupanya, apa lagi yang bobrok lakunya. Sehinggalah ada kepentingan yang dijaga dan dipertahankan secara materialnya, maka, idealisme yang dipertahankan akan menjadi caca merba. Sebentar putar ke sini, sebentar lagi putar ke sana. Sebentar nanti, putar lagi ke sini. Akhirnya, jadilah belia yang fakir ideanya, lemah jiwanya, buntu masa depannya.

A-Aktivis
Belia berkerja lebih cergas dan luar biasa kebiasaannya. Kecergasan yang datangnya dari fizikal yang mantap, serta jantung yang sihat segala urat nadinya; akan menggerakkan segala macam pancaindera dan anggota untuk bergerak. Gerak belia adalah untuk kebaikan sejagat. Gerak belia adalah barisan depan dalam mendepani mana-mana agenda untuk Agama, dan negara. Aktiviti belia tidak pantas dinilai dengan materi yang mewah. Memadai sekadar cukup makan-minum, ada tempat berteduh, cukup tambang bergerak ke destinasi pertempuran. Nilaian materi yang berlebihan hanya akan melembapkan darah dipam ke seluruh anggota. Biarlah lihat belia cergas dengan kebeliaan mereka. Ditahan belia bergerak, samalah menahan arus ombak yang memukul pantai. Datangnya tidak akan sudah. Sifat aktivisme perlu dipelajari, disokong dan didokong oleh umat sekelian alamnya; barulah kepemimpinan masa depan dapat dipertahankan dengan wajar dan akhirnya, Agama dan negara akan dapat dipelihara hingga akhirnya.(insya Allah)

Selasa, April 14, 2009

Kem Smart Insan 2009 SKKB



Tanggal 11-12 April 2009, bersamaan hari Sabtu dan Ahad, bertempat di Sekolah Kebangsaan Kebun Baru, Telok Panglima Garang. Di sini, bermulanya penjelajahan Unit Syabab Nurul Iman, sayap remaja PEPIAS di daerah kuala Langat, ditemani ABIM Kuala Langat, sebagai mentor menjalankan kerja dakwah pendidikan secara berjemaah. Setelah berpenat lelah menjalani latihan PMG, PEBIS, dan LAKEP, para aktivis muda ini akhirnya berjaya menjalankan projek pertama mereka bersama masyarakat di kampung Kebun Baru ini.

Para fasilitator dan penggerak program seramai 38 orang, sebahagian dari PEPIAS Bangi(KUIS), rakan-rakan syabab SAMTAR, UIAM (PJ), Madrasah Mujahidin, dan tenaga utama dari unit Syabab Nurul Iman sendiri. ABIM Kuala Langat, melalui wakilnya, saudara Radin Muhd Imaduddin bertindak sebagai Trainer, dan secara langsung, mentor kepada penggiat remaja ini. Saudara Hafiz (KUIS) bertindak sebagai Ketua Fasilitator dan Saudara Azmir (Syabab) sebagai Pengarah Program. Saudara Zulhelmi (Presiden PEPIAS) turut sama hadir sebagai pemerhati Pusat. Seramai 244 orang peserta program, murid tahun 6 menyertai Kem Smart Insan ini, dengan pecahan 11 kumpulan lelaki dan 11 kumpulan perempuan.

Program ini menjadi suatu ujian kepada penggerak remaja Syabab dalam menguruskan program sepenuhnya; dari menulis kertas kerja, sehinggalah akhir acara perasmian penutupan daripada NYDP PIBG SKKB, Ustaz Adni. Program ini, pada awalnya berfokuskan kepada Modul Smart Solat, namun, setelah perbincangan dilakukan dan memberi pertimbangan kepada keperluan sekolah, modul diubahsuai kepada SMART insan.

Lantas, modul dirangka semula dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam menjadi anak soleh, di samping membimbing adik-adik peserta menjalani kehidupan yang kemas (smart) dalam menjuruskan aktiviti dan sasaran kepada kejayaan. SMART adalah akronim kepada:-

S-Solat
M-motivasi
A-Akhlak / Adab / Aturan
R-Rakan sebaya
T-Tekun / Bersungguh-sungguh

Secara keseluruhan, program ini dapat menonjolkan kekuatan penggerak, baik sebagai fasi, dan juga komiti, dan serba-sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki dari masa ke masa. Secara tidak langsung, unit Syabab juga telah mempromosikan diri mereka kepada masyarakat umum di sekitar mereka. Yang lebih penting, kesan menyampaikan perkara kebaikan adalah untuk membangunkan diri sendiri untuk menjadi insan yang soleh kepada Penciptanya, dan seterusnya menjadi khalifah kecil di atas muka bumi ini.

Prinsip Menyeru kepada Ma'ruf, dan mencegah kepada Munkar sentiasa menjadi alas untuk terus berkhidmat dalam masyarakat. Mana mungkin melihat kesan perubahan sikap kepada peserta dalam program yang hanya 2 Hari 1 malam menjadi kayu pengukur kejayaan program. Kita hanya merancang, dan berusaha bersungguh-sungguh, selebihnya, kita serahkan kembali kepada Allah yang Esa untuk memberi hidayah kepada hambaNya. Hanya Allah sahaja yang mampu mengubah apa yang diciptaNya.

Selanjutnya, adalah proses muhasabah dan meneruskan Islah dalam diri dan masyarakat. Unit Syabab akan terus membantu ABIM Kuala Langat, melalui PEPIAS dengan izin Allah taala.
Sama-samalah kita berdoa semoga dengan Asbab mengikuti program latihan sebegini, akan menjadikan diri lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini.


Ya, Penjelajahan kita baru sahaja bermula...





Selasa, Mac 24, 2009

Kem Kembara Al-Muqarrabin

BANTING- Kem Kembara Al-Muqarabbin sempena Bulan Dakwah Negeri Selangor 1430H/2009M telah dijalankan pada 21-22 Mac 2009 di Kem Bina Taqwa , Bukit Changgang. ABIM Negeri Selangor telah diamanahkan untuk mengisi program ini dengan modul yang bersesuaian dengan belia remaja kini.

Seramai 77 orang peserta daripada sekolah menengah seluruh Kuala Langat seperti SMK Bukit Changgang, SMK Bandar Banting, SMK Sijangkang Jaya, Maahad Mujahiddin, Maahad Ihya Al-Muhammadi dan banyak lagi. Seramai 11 orang tenaga penggerak daripada ABIM yang diketuai oleh Sdr Khairudin bin Abas , Pen. Setiausaha ABIM Negeri Selangor merangkap YDP ABIM Kuala Langat dibantu oleh Sdr Radin Mohd Imaduddin, Exco Pendidikan dan Latihan ABIM Kuala Langat serta Sdr Mohd Hafiz Abd Bar sebagai Ketua Fasilitator. Seramai 8 Fasilitator daripada PEPIAS dan Unit Syabab ABIM Daerah Kuala Langat.

Program ini bertujuan untuk mendekatkan belia remaja dengan kehidupan yang lebih baik menurut landasan Islam dan mendekatkan diri kepada Allah Taala, di samping menggilap potensi diri muslim di dalam diri remaja terlibat. Penyelaras program daripada JAIS, Ustaz Kamal Ariffin berharap kerjasama dengan NGO Islam terutama ABIM ini dapat diteruskan terutama dalam program yang akan datang. Program ini ditutup dengan rasminya oleh AF Ustaz Abd Rahman Hassani , Pegawai Tadbir Agama Kuala Langat.


Barisan fasilitator, aktivis dan penggerak ABIM Kuala Langat.
(berdiri dari kiri:- Syida, Sofeah, FikrahImayu, Khairudin Abas, Adibah, Husna, Sasa)
(duduk dari kiri:- Faez, Hazriq, Hafez, Azmir)

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Fikrah:-
1) Kem Kembara Al-Muqarrabin adalah salah satu acara dalam pelaksanaan Bulan Dakwah 2009. Kali terakhir diadakan bulan Dakwah adalah pada tahun 1978! Maknanya, 30 tahun yang lalu! (klik sini)

2) Kem Kembara Al-Muqarrabin pada asalnya disasarkan kepada OKT (Orang Kena Tuduh), dan difokuskan lagi remaja-remaja / belia-belia yang ditangkap terlibat dengan gejala sosial seperti ditangkap khalwat, lari dari rumah, penyalahgunaan dadah (juvana), dan sebagainya. Namun, mereka enggan hadir dan pihak JAIS tidak boleh memaksa mereka untuk hadir. Program ini juga sebagai motivasi-kaunseling susulan setelah didakwa.

3) Oleh kerana itu, modul telah diubahsuai dengan mensasarkan kepada remaja dengan pendekatan islah, motivasi dan pengembangan potensi diri sebagai pendakwah muda dalam masyarakat. Secara tidak langsung, ABIM dapat memanfaatkan kem ini untuk melatih dan menggembleng generasi remaja sebagai aktivis masyarakat.

4) Fasilititor juga adalah hasil daripada program-program sebegini; (Rujuk entri tentang Syabab Nurul Iman.) Menariknya, ini adalah program pertama mereka sebagai fasilitator selepas LAKEP (Latihan Kefasilitatoran dan pengurusan). Tahniah dan syabas untuk penggerak muda ini. Teruskan usaha kalian dalam berbakti dan berbudi kepada masyarakat.



Selasa, Mac 03, 2009

Young ABIM Camp




1) Ini merupakan produk ABIM yang baru... Silalah datang dan dijemput untuk mengajak rakan-rakan, anak-anak, dan lain-lain yang berkenaan.

2) Kepada semua Kerabat ABIM Selangor dan Wilayah juga, dipersilakan untuk mendaftarkan anak tuan/puan segera untuk solidariti dan proses sepadu bina IQ,EQ dan SQ.

3) Mohon dipanjangkan juga kepada semua yang berminat.

JANGAN LEPASKAN PELUANG KEEMASAN INI !
HUBUNGI SEKRETARIAT ABIM SELANGOR
03 5511 8994


Jumaat, Februari 27, 2009

Teruskan perjuangan kalian



Inilah dia serba sedikit kenangan semasa program Ayuh Geng Bersih Masjid. Penat, tapi seronok dan sangat berbaloi. Kesungguhan untuk menjadi Aktivis dan penggerak masyarakat yang berfungsi pasti akan diteruskan hingga akhir hayat;

Generasi muda hari ini harus disokong dan didokong apalagi mereka berusaha untuk menggerakkan rakan-rakan seusia mereka dalam aktiviti kesukarelaan dan mendekatkan diri dengan masjid. Semangat sebegini tidak datang sekelip mata. Ia harus dipupuk. Ibarat menyemai benih pokok. Hasilnya mungkin lambat; mungkin akan ada hasil yang dapat dituai; mungkin juga akan mati dan tidak dapat diselamatkan.

Namun, kita percaya, proses pendidikan adalah sepanjang hayat. Apa yang berlaku pada hari esok, kita serahkan sahaja kepada Yang Esa. Namun, hari ini, kita usaha sehingga berjaya. Berjaya untuk membina hati, jiwa, dan peribadi seorang Muslim dan Mukmin sejati. Kita adalah khalifah istimewa di atas muka bumi ini.

Teruskan perjuangan adik-adikku sekelian! Masyarakat sangat memerlukan kalian.





Isnin, Februari 09, 2009

Ayuh Geng Bersih Masjid

Pengumuman Program Kemasyarakatan

Ayuh Geng Bersih Masjid

Hari : Ahad
Tarikh: 22 Februari 2009.
Waktu: 8.00 hngga 2.00 t/h.
Tempat: Masjid Nurul Iman, Kampung Kebun Baru, Bt 10.
golongan sasaran: para belia, remaja serta pelajar asrama SMKTPG.

Anjuran : PEPIAS Cawangan Kuala Langat aka Syabab Nurul Iman,
Anjuran bersama: SMK TElok PAnglima Garang dan Masjid Nurul Iman, Batu 10.

organisasi bg program ini adalah seperti berikut:

Pengarah: Mohd Faiz b. Jaini.
Pen. pengarah: Sofieyah bt. Mohammad Ishak.
Setiausaha: Nur Amalina bt. Tuna.
Bendahari: Yusro Hamamah bt. Jumiran.

AJK:
PC/Penyelaras Program: 1)Afiq b. Roslan.
2)Nor Laili bt. Kadri.
Publisiti: 1)Muslim b. Hashim.
2)Nur Amalina Bt Tuna
Ajk logistik: 1)Muhammad Zamry b. Suterisno.
2)Safiqah bt. Rosli.
Ajk makanan: 1)Saiful Safuan b. Kartoyo.
2)Nor Hafiffy Suraya bt. Shafie.
Ajk disiplin: 1)Fidauddin b. Soiful Bahri.
2)Syafiqah Hasna bt. Raden Abd. Hakim.



DIJEMPUT BERAMAI-RAMAI; AJAK BERSAMA RAKAN-RAKAN DAN KENALAN ANDA; YANG MUDA REMAJA KHUSUSNYA; MARI KITA MENGIMARAHKAN MASJID; MULAKAN DENGAN BERGOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN MASJID KITA.

Fakta penting dalam program ini:

1) Diuruskan sepenuhnya oleh remaja; lepasan SPM 2008; dengan bantuan nasihat daripada PEPIAS / ABIM daerah Kuala Langat

2) Kebanyakkan penganjur / penggerak adalah daripada lepasan program Perkampungan Menara Gading (PMG 9) dan Perkhemahan Belia Islam Selangor (PEBIS); anjuran PEPIAS dan Kerajaan Negeri Selangor.

3) Penggerak-pernggerak ini berhasrat untuk meneruskan agenda kesukarelaan dan kemasyarakatan dalam bentuk Kelab / Persatuan yang akan didaftarkan di bawah Registrar of Youth (ROY), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

4) Kumpulan ini dinamakan SYABAB Nurul Iman; maknanya- Pemuda yang Disirami Keimanan; membawa harapan yang segar sebagai penggerak masjid, penggerak belia setempat dan penggerak masyarakat.

5) Program Syabab dimulakan di Masjid Nurul Iman, Kampung Kebun Baru pada penghujung tahun 2007.


SELAMAT BERPROGRAM!!





Khamis, Januari 01, 2009

keratan akhbar - perkampungan menara gading 2008

Sekitar Kampus: Program PMG
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my

Pelajar lepasan SPM bercuti sambil menimba ilmu mengenai alam kampus

SEMUA mengakui teruja untuk mengikuti program Perkampungan Menara Gading (PMG) anjuran Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Selangor (Pepias), apatah lagi apabila mendapat sokongan ibu bapa dan guru bertujuan mengisi waktu cuti selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas didedahkan dengan beberapa slot program di Kolej Ke-13, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang perasaan itu semakin meningkat dan bertukar menjadi seronok kerana banyak pengalaman serta pengetahuan baru ditimba.

Bekas Ketua Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Panglima Garang, Azmir Jais, berkata program PMG adalah pengalaman baru yang mencabar kekuatan diri dan mempunyai kelainan berbanding kegiatan lain yang pernah disertainya.

“Tiga hari berada di sini memberi impak positif dalam hidup saya terutama selepas saling kenal mengenali dan mengikuti aktiviti harian yang mana pengisiannya mendedahkan peserta mengenai budaya ilmu dan berfikiran positif.

“Dulu tidak banyak yang saya tahu mengenai Islam dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Kini saya gembira kerana mempelajari ilmu agama khususnya kepentingan solat,” katanya.

(klik di sini)

Rabu, Disember 24, 2008

Perkampungan Menara Gading 2008 (Edisi UPM)



http://sofieyah-longwaytoheaven-sofieyah.blogspot.com/2008/12/pmg-at-upm19-until-21-dis-2008.html

http://pepiasbangi.blogspot.com/2008/12/kenangan-kenangan-semasa-di-pmg-ke-9.html

http://pepiasbangi.blogspot.com/2008/12/berakhirnya-pmg-yang-ke-9.html

1) Ada kenal sesiapa di dalam video dan gambar ini?
2) Tahniah kerana mengikuti program ini sepenuhnya. Cikgu doakan kalian akan terus bersemangat untuk berbakti dan terus bersama menjaga rakan-rakan seperjuangan, sehingga akhir hayat kalian...






Sabtu, Disember 06, 2008

Ucapan dasar Presiden MATP ke-17


Muktamar Agung Tahunan PEPIAS ke-17 (MATP ke-17) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 5-6 Disember 2008; Tempat berlangsungnya- Kompleks Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, Gombak. Mungkin, MAT kali ini adalah yang terbaik sepanjang 17 tahun PEPIAS berada di persada dakwah negeri Selangor. Saudara Zamani Mohd Karulani, presiden PEPIAS untuk 2 penggal (2004-2008) telah memberikan suatu ucapan dasar terakhir sebagai presiden PEPIAS; yang saya kira, terbaik antara 4 kali ucapan dasar beliau.

Tema MAT kali ini adalah- MEMPERTINGKAT KAPASITI; MEMENUHI KEPERLUAN UMMAT.
Suka saya berkongsi ringkasan nota ucapan beliau yang saya rasakan amat penting untuk dihadamkan oleh penggerak dakwah terutama generasi belia di SElangor.

REALITI UMMAT MASA KINI;
1) Generasi muda telah diserang pelbagai agenda licik yahudi dan nasrani yang yang tidak akan redha dengan kita selagi tidak mengikut cara mereka. Golongan kanak-kanak di tomtombakkan, golongan belia telah difantasiakan. MAsyarakat Islam pula telah diserang dengan pemikiran Islam Liberal, fahaman pluralisme agama, sekularisme, Islamophopia, hedonisme, globalisasi, feminisme, zionisme, dan lain-lain lagi.

2) Dari segi pendidikan agama, kelompongan kesinambungan pendidikan agama dari sekolah rendah agama terus kepada IPT, tetapi hanya sedikit sahaja bilangan sekolah agama menengah tidak dapat menampung tempat pelajar-pelajar Islam yang dahagakan pendidikan agama.

3) PArti politik pula gemar mencari salah sesama mereka. POlitik dijadikan matlamat untuk mendapatkan kuasa. Sedangkan dalam Islam, politik dan kuasa dijadikan wasilah untuk menegakkan agama di muka bumi.

Masyarakat sedar dan mahu pengisian AGAMA sebagai benteng atau jati diri dalam menghadapi cabaran yang besar dan kian ruwet di luar sana. PERSOALANNYA, adakah kita mampu menjadi rakan kepada pembangunan jati diri remaja yang ada, dengan kekuatan yang kita ada sekarang ini? Ummat amat dahagakan dan mengharapkan kita semua. Adakah kita semua sudah bersedia?

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
FIkrah Imayu - Ini baru permulaan (m/s 1; ada 16 m/s semua sekali)... besar dan berat betul isu ni... Selebihnya akan dikongsikan lagi selepas ini (kalau berkesempatan). Namun, setelah pulang dari MAT petang tadi, saya merasakan memang banyak lagi tugasan ummat yang harus dilaksanakan untuk remaja dan belia dalam masyarakat. Harapannya, generasi yang keluar dari madrasah PEPIAS ini mampu berfungsi bak benih yang subur, mengakar dan merimbun dalam masyarakat.

Patutkah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji(dengan sesuatu cubaan)? (Ankabut:2)

Khamis, Oktober 30, 2008

Raya rumah kawan-kawan lama



RAya tahun ini, saya sempat beraya ziarah sahabat lama seperjuangan, siapa? YDP PEPIAS UIAM tahun 2003-2004; SAudara Erwan Maasus dan HELWI PEPIAS-UIAM tahun 2003-2004; Saudari Suzan Fazliyanti.

Ini adalah dua tokoh penggerak utama PEPIAS pada waktu itu. Malah, saya sendiri adalah Setiausaha pada tenure itu. APa masalahnya? Hmm... Dah lama tak jumpa... maksudnya, dalam jemaah laa... Dua tokoh ini, khabarnya ter'futur' akibat cobaan dunia... hahaha. SAbar jer laa.. MAsa ini, teringat juga masa mereka sebagai tulang belakang kami masa tu... Tajuk FUTUR dalam perjuangan kami pernah dan selalu bincangkan...

Mungkin masa akan memberitahu kita, adakah kita masih sama seperti dulu... mungkin juga masa akan mengajar kita tentang keupayaan untuk kita bergerak dalam masyarakat adalah sangat mencabar dan mnduga keimanan dan kesabaran kita bergerak dalam jemaah. SAYA AMAT MEMAHAMI RAKAN-RAKAN LAIN... Saya pernah berada di tempat mereka...

KEsimpulan saya mudah... PERSADA PERJUANGAN kita adalah masyarakat. Gerakan DAKwAH dan TARBIYYAH boleh berlaku di mana sahaja. Asalkan, kita bawa bersama FIKRAH yang sama, iaitu Amar MAaruf dan Nahi Mungkar... Mungkin, seelok2nya, kita dalam jemaah- sekadar untuk memastikan yang kita tidak ketinggalan dan ditinggalkan. DAn yang paling penting, tidak LUPA...

Salam perjuangan sahabat-sahabat sekelian

Selasa, Oktober 07, 2008

Program Motrivasi tingkatan 5




Antara projek yang sempat dilakukan bersama PEPIAS dengan SMKTPG tahun ini (2008) adalah program motivasi tingkatan 5, anjuran Panitia Pendidikan Islam. Seramai lebih kurang 80 orang pelajar tingkatan 5 terlibat. Program ini diadakan pada 26 April 2008. Program ini adalah serentak dengan beberapa program ko-kurikulum yang lain di sekolah, seperti KRS dengan PKBM... Jadi, ada beberapa kumpulan sasaran yang tidak dapat bersama mengikuti program ini sepenuhnya.

Fasi dari PEPIAS- antaranya dari MAtriks UIA, dan juga Main Camp UIAM. Trainer adalah saudara Kamarul Azami, Ahmad Zulhilmi, dan kumpulan dari IQ Class Management. Saya pula adalah sebagai penggerak dan pemantau perjalanan program supaya bergerak lancar dan memberi kesan kepada peserta dan sekolah secara umumnya.

Program ini barangkali akan membuka lebih banyak lagi program pengisian motivasi pendidikan kepada PEPIAS-ABIM dan SMKTPG, insya Allah...

Rabu, September 24, 2008

Teras Program ke masyarakat

Semasa sejak zaman lepas persekolahan lagi, saya telah memulakan latihan kemasyarakatan. Ya, kami bermula sebagai fasilitator, dan turun ke sekolah-sekolah sekitar negeri SElangor untuk menyampaikan dan berkongsi 'pesanan yang baik' kepada adik-adik program. Jenamanya seperti program motivasi pendidikan, khemah Ibadah, Kepimpinan pelajar Islam, JEjak Rakan, dan sebagainya. Pokoknya, semuanya berorientasikan mengajak kepada kebaikan, dan meninggalkan kemungkaran.

Dari awal lagi, kami sering bertanyakan kepada diri masing-masing, sudah cukup baik kah diri ini sehingga mahu mengajak orang lain kepada kebaikan? Orang kata, cermin diri dulu. Diri sendiri, banyak yang tak betul daripada betul. Banyak juga melakukan kemaksiatan dan 'lagha'(lalai) dalam amalan harian. Namun, kami percaya dengan jalan yang kami pilih ini sebenarnya berteraskan kepada 2 perkara:

1) Memperbaiki diri sendiri - dengan menceritakan perkara kebaikan dan bermotivasi kepada orang, yakni menyampaikan dakwah dan menceritakan kebesaran Allah taala, harapannya, telinga yang paling hampir dengan mulut yang berbicara; iaitu diri sendiri, akan mendengar dan akan menerima dalam hati seterusnya memperbaiki kelemahan dalam diri.

2) Membantu untuk menyumbang kepada jalan dakwah (menyeru kepada kebaikan, dan mencegah kepada kemungkaran) - jalan seorang Muslim adalah untuk menegakkan syariah Islam atas muka bumi ini. Maka, ia bermula dari kesedaran tentang kepentingan menjaga diri dari usia kanak-kanak dan remaja lagi. Menjaga diri termasuklah dalam segala bidang kehidupan seperti pembelajaran ilmu, adab dan akhlak, kepimpinan dan organisasi, dan lain-lain lagi.

Kemudian, setelah tamat program, kami pulang, dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Pada masa yang sama, bagaimana kesan kepada hidup kami selepas itu? Perasaan berkongsi dengan adik-adik adalah sesuatu yang sangat seronok;

-sedar sebenarnya betapa diri ini sangat bertuah dapat mencapai tahap pada hari ini.
-Kalau rasa diri sangat susah, ada lagi yang lebih susah. Kalau rasa diri senang, ada lagi yang lebih senang.
-Terdetik sentiasa sikap untuk melakukan perubahan dalam kehidupan. Kalau tak pergi program, agaknya tak pernah buat sendiri Qiyamullail.
-Program juga melatih untuk tidak melakukan perkara buruk depan adik-adik dan pihak sekolah (orang lain).
-Belajar mematuhi peraturan. Contohnya, fasi yang merokok- rokok di luar kawasan sekolah dan mengamalkan etika fasi. MAcam puasa dalam RAmadhan. Kan boleh menahan diri daripada tak merokok sepanjang hari.
- menambah ilmu bercakap dengan orang ramai. Kalau dah maju, boleh cakap depan mass, siap boleh jadi penceramah pulak.
- Membudayakan diri dengan amalan permbicaraan secara berhikmah dan halus, dalam menyampaikan mesej besar, mungkin dalam bentuk permainan, kuiz, perbincangan, penulisan, dan sebagainya.
- Mengurus dan mentadbir segala perjalanan program daripada sebelum-semasa-selepas program.
- lain-lain lagi sebenarnya...

dan yang paling penting, kesan jangka panjang iaitu menjadi Daie dalam masyarakat sehingga akhir hayat

Melihat kaca mata dunia dari kaca mata daie

Selamat turun ke masyarakat

Selasa, September 23, 2008

Agenda Belia tahun 2009

Surau Raudhatul Muttaqin, Taman Kemuning, menjadi bukti bahawa remaja-remaja di sekitar sini telah berkumpul dan menjalani kem Remaja Raikan Ramadhan (3R) pada 20-21 September 2008. Program ini mencatat sejarah peribadi kepada ABIM Kuala Langat, kerana buat pertama kalinya, kami dapat berkerjasama dengan Jemaah Islamiyah Malaysia (JIM) Kuala Langat, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Morib, serta Majlis PErwakilan PEnduduk (MPP) zon 22, Kuala Langat dalam program bersifat pendidikan remaja di sini.

ABIM, bukan sahaja di Kuala Langat, malah di seluruh negara sebenarnya pada tahun ini, secara asasnya berada dalam defensive mofe, apabila kekuatan jentera kita adalah di tahap minimum. Kami terdedah dengan pelbagai ketidakpastian masa depan penubuhan apabila akta Pertubuhan Belia yang diluluskan pada tahun 2007 akan diguna pakai dan berkuatkuasa pada akhir tahun ini. Menjelang Januari 2009, pertubuhan-pertubuhan belia haruslan mempunyai keahlian mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Sebenarnya, takrif belia dalam bahasa lain adalah teenagers, atau youngsters, atau youth. Maknanya, umum boleh membayangkan ia adalah kelompok remaja belasan tahun sehingga awal 30an... Di Malaysia, definisinya berbeza sekali. Belia adalah mereka yang berumur bermula 16 tahun sehinggalah 40 tahun. Belia ini pula dipecahkan kepada 3 kumpulan, iaitu 26-25 tahun- belia remaja, 26-35 tahun- belia kerjaya, 36-40 tahun- belia kepimpinan.

Di Malaysia, masalah akan berlaku dalam kelompok belia kerana selama ini, pertubuhan belia dimonopoli dan dikuasai oleh politikus, dan kumpulan tua yang sudah tidak relevan lagi dalam organisasi belia. Malu sungguh apabila berlaku konvensyen belia peringkat antarabangsa, belia luar; semuanya muda-muda sungguh. Wakil Malaysia pula, semuanya tua-tua sungguh! Kemudian, dikata pula belia remaja ini tidak mampu, tidak aktif, dan lesu-selesunya. Padahal, golongan itulah yang melesukan belia hari ini demi kepentingan peribadi masing-masing.

Hari ini, kita bermula sekali lagi. ABIM juga tidak kurang punya masalah. Dalam daerah Kuala langat, masyarakat juga sudah hampir tidak mengenali ABIM. Kami hanya punya 1 kumpulan usrah. Dan dalam kumpulan usrah ini pula, hanya 6 orang sahaja yang aktif. Lebih parah, 3 daripadanya, sudah lebih 40 tahun, malah hampir mencecah 50 tahun. Dan selebihnya, dalam lingkungan 20an. Maknanya, kami kehilangan 20 tahun generasi penerus sebelum ini! Ini sangat serius! sangat-sangat serius!

Namun, kita sedar keadaan ini, dan percaya mampu melakukannya sekali lagi. Tindakan harus dilakukan hari ini. Gunakan segala kesempatan dan peluang yang ada untuk menrik minat generasi muda, dengan menggunakan segala bantuan dan kerjasama dari mana-mana pihak yang sama-sama punya visi yang sama. Kerja keras dan terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan Syiar Islam. Kami percaya, apabila kita berpegang teguh dengan tali-tali Allah, Allah pasti akan membantu untuk menyebarkan dakwah pada jalan fisabilillah yang suci ini.

Kami menyusun rangka program untuk menanam benih syabab (pemuda) dalam gerakan atau Jamaah Islamiyah dalam konteks belia Islam dalam agenda tahun ini dan seterusnya seperti yang berikut:

1) meneruskan kerjasama dengan mana-mana badan dan institut Islam di daerah ini secara konsisten (istiqamah)
2) Memberikan peluang program-program berbentuk pendidikan, dalam bentuk yang boleh dan mahir laksanakan seperti program motivasi pendidikan, Smart Solat, Syabab Masjid dan sebagainya kepada warga Kuala LAngat khususnya.
3) Menambah baik jaringan perhubungan dengan NGO-NGO Islam di daerah ini dan kerajaan negeri melalui Pusat Khidmat Masyarakat Dun, dan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan.
4) Mengadakan program-program berterusan kepada sekolah-sekolah sasaran di Kuala LAngat dan diteruskan lagi untuk tahun-tahun berikutnya.
5) MEmantapkan institusi usrah dengan serius dengan menggalakkan golongan isteri dan anak-anak untuk turut serta bersama-sama.
6) Menjadi jurubicara ummah dengan memberikan fakta-fakta dan pendirian ABIM kepada ummah, sebagai pendirian yang bersifat independence dan non-partisan seperti yang dipegang pada hari ini.
7) Sentiasa mengambil berat akan adik-adik pada peringkat PEPIAS-PKPIM untuk terus berkerjasama mengendalikan program yang kita anjurkan.
8) Mengadakan kumpulan usrah di peringkat IPT-IPT di kawasan sekeliling, seperti di Kuala Langat- Kolej MARA, Kolej Komuniti, KUIS, USIM, UiTM, Kolej InTI, dan sebagainya.
9) Memasarkan tokoh-tokoh dalam ABIM Kuala Langat sebagai jurubicara umat yang bertaraf selebriti, pendakwah bebas, atau tokoh dalam khidmat masyarakat dengan memberi ceramah atau memberi sumbangan kemasyarakatan di kawasan-kawasan sekitar.
10) dan lain-lain yang relevan.

Wahai Belia-belia sekelian, mari kita teruskan agenda belia untuk agama Islam! PErjalanan kita masih jauh. Namun, kita harus teruskan jua perjalanan ini. (pangkalnya jauh, hujungnya belum tiba)

Allahu Akbar.