Ahad, April 12, 2009

Agenda dakwah dalam berjemaah

1) Meneruskan agenda perjuangan dakwah dalam Jemaah bukan suatu kerja yang mudah. Lagi-lagi, apabila dipertanggung-jawabkan dengan menjaga dan melatih kepimpinan muda yang baru mengenal dunia luar dari sekolah, dunia yang tiada kawalan cikgu untuk menyatakan dan membetulkan diri mereka; Dunia yang memberikan segala kebebasan kepada diri anak muda untuk menentukan hala tuju mereka mengikut cita dan rasa mereka.

2) Agenda dakwah dalam berjemaah, tidak pula sama dengan berpersatuan. Dari organisasi, dan luaran, mungkin kelihatan serupa, namun, dari segi pengisian dan semangat yang dibawa, adalah perkara yang cukup berbeza. Jauh berbeza. Jemaah Islamiah membawa misi Fisabilillah dan membawa agenda penerus generasi ambiya' ditontoni dengan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai modal utama. Manakala berpersatuan, hanya menguruskan suatu objektif secara bersama dalam satu organisasi yang tersusun. Tiada pula perlu agenda Tauhidiq dibawa bersama dengan penubuhan sesuatu persatuan. Dalam jemaah, agenda Tauhidiq adalah kemestian.

3) Di sekolah-sekolah kementerian, latihan bersifat kerohanian, dan pembudayaan amal jamaie adalah sesuatu yang sangat janggal untuk dipertontonkan. Alasannya, terdapat perlbagai bangsa berlainan agama; jadi, tidak adil jika dilebih-lebihkan amalan Islami melebihi yang lain, dan dibimbangi tidak mempromosikan integrasi murid yang pelbagai agama di sekolah. Kalau ada pun, belum tentu semua guru akan terlibat dalam perlaksanaan aktiviti sebegini. Hanya guru Agama Islam sahaja yang mempromosikannya pula. Inilah realitinya dan harus diperhalusi semula adakah benar pendekatan yang diambil ini.

4) Anak muda yang baru melepasi alam persekolahan tidak akan mampu bergerak dalam suatu jemaah, dengan mudah kerana sebab-sebab seperti di atas. Pembudayaan bukan lahir sekelip mata, bukan juga sehari-dua; Ia perlukan komitmen berterusan dan latihan yang tersusun dan serius; dan sudah tentu sumbangan kepakaran para sahabat dan ilmuan yang berpengalaman dan terlibat dalam jemaah bersama-sama memberi sokongan dan dokongan untuk melahirkan penerus dalam agenda melahirkan generasi Rabbani pada masa depan.

5) Siapa yang bertanggung-jawab untuk membina generasi baik pada masa depan, jika tidak generasi hari ini? Malah, terlalu ramai yang beralasan diri sendiri tidak bersedia dan tidak punya ilmu, atau tidak alim, dan lain-lain alasan lagi, dan akhirnya menangguhkan kerja dakwah ini. Dari zaman belajar, ke zaman berkerja, ke zaman brekahwin, ke zaman beranak-pinak, ke zaman tua. Alasan pasti ada untuk menangguhkan kerja dakwah. Syaitan pasti amat suka apabila kerja mengajak kepada kebaikan ditangguh-tangguhkan!

6) Anak muda baru habis SPM, masing-masing menunggu untuk masuk ke kampus. Di kampus, mereka akan terus belajar mendapatkan segulung ijazah, dan seterusnya, akan terus memasuki alam pekerjaan. Dunia mereka akan semakin luas; masa mereka akan semakin sempit; Bukan kerana 24 jam sehari menjadi 20 jam; tetapi, nafsu dan kerenah dunia telah menipu mereka (malah seluruh umat manusia) untuk mengejar urusan dunia dan seterusnya meninggalkan kerja-kerja dakwah; saham mereka di akhirat kelak.

7) Lantas, kita akan mendengar dialog dan skrip yang sama saban generasi, permasalahan sosial remaja yang kronik, dan semakin kronik apabila kita tidak meneruskan tanggungjawab melatih sepenuh upaya generasi mendatang. Harus jelas, kerja dakwah bukan lagi fardhu kifayah pada hari ini. Ia sudah menjadi Fardhu Ain, apabila setiap lapisan dalam umat sudah rosak akhlak dan akidah yang semakin terpesong dengan semakin menjauhi sunnah Nabi Rasululullah SAW dan tidak lagi memegang sepenuhnya syariah Allah di atas muka bumi ini.

8) Bertindaklah sekarang dalam apa sahaja posisi kita pada hari ini. Ingatlah; kerja dakwah yang kita lakukan pada hari ini, adalah untuk diri kita sendiri; kemudian barulah untuk orang lain di bawah jagaan kita. Kalau tiada kerja dakwah, maka tiadalah penambahbaikan untuk diri sendiri. Bersediakan kita untuk dipanggil Tuhan pada hari ini?


Tiada ulasan: