2) Memberi manfaat, bererti datangnya manusia ini, dirasai oleh masyarakat atau komuniti di sekelilingnya. Dirasai, dalam konteks yang baik dan menyumbang kepada pertambahan mutu dan kualiti unggul. Kalau setakat baik, belum lagi bermakna baik kepada yang lain. Ini menunjukkan, baik adalah subjektif kepada persepsi dan masih tidak mencukupi. Ia harus datang bersama dengan kualiti unggul dalam indeks kemanusiaan dan penambah-baikan.
3) Iltizam untuk melakukan penambah-baikan perlu ada pada setiap manusia. Setiap insan yang lahir, pada dasarnya, mahukan penambah-baikan. Dalam teori Hieraki Maslow, semua orang berkehendakkan penambah-baikan dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, sehinggalah kemuncak hieraki ini, iaitu kepuasan peribadi. Dalam Al-Quran, ditulis ungkapan Fastabiqul Khairat, yakni berlumba-lumba melakukan kebaikan, atas makna memberi manfaat kepada manusia yang lain. Iltizam dan semangat inilah yang perlu dipupuk dalam diri, keluarga, dan seterusnya masyarakat sekeliling kita.
4) Maka, manusia, insan kerdil yang Allah berikan tanggungjawab sebagai Khalifah; wakil pemerintah di atas muka bumi ini, perlulah memainkan peranan mereka dengan bijaksana dan berhikmah. Melakukan perubahan kepada kebaikan dalam diri dan masyarakat tidak datang dengan percuma. Banyak dugaan dan cabaran yang harus ditempuhi dalam mencapai suatu penambah-baikan. Lantas, ia sangat rapat dengan ungkapan suatu perjuangan.
5) Ironinya, manusia tidak suka diubah! Manusia bisa menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, walau sesusah mana sekalipun; Lagi-lagi, apabila sudah terlalu lama atau biasa dengan keadaan tersebut. Kebiasaan akan melahirkan ketabahan dan kecekalan. Akhirnya, alah bisa, tegal biasa; Yang susah, dilalui dengan senang; Yang berat, dilalui dengan ringan; Yang salah, dilihat seperti benar; dan lebih berat, Yang buruk, dinilai sebagai baik. Lihat sahaja sekeliling kita. Seorang lelaki merokok, adalah biasa. Walhal, fatwa jelas menyatakan Haram atau sesetengah negeri, Makruh. Peringkat ini dikenali dengan zon selesa.
6) Ambil masa seketika, muhasabah diri, keluarga dan masyarakat sekeliling. Apa masalahnya? Di mana silapnya? Apa yang berlaku? Apa yang boleh dilakukan? Apa yang tidak boleh dilakukan? Kemudian, kumpul kekuatan; sediakan tentera dan jentera, perkemaskan organisasi dan gerak kerja, perlihatkan visi; perjelaskan misi. Tarik nafas dalam-dalam. Teruskanlah bergerak ke hadapan, dan akhirnya, bertawakkallah.
7) Perubahan tidak datang sekelip mata; tidak pula dinamakan perjuangan tanpa risiko dan rintangan; Yang pasti, langkah ini akan menjadikan diri ini lebih baik daripada diri ini, pada hari semalam. Tanamkan iltizam, pasakkan kesungguhan dan kejar semangat fastabiqul Khairat, masa yang diberi Allah taala kepada kita tidak akan dipersiakan; sebelum kita dipanggil olehNya suatu masa nanti.
Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian; kecuali mereka yang beriman, dan beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran
(Al-Asr)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan