1) Kalau diberi skala untuk prestasi diri, dalam suku tahun pertama tahun 2009, 10- untuk prestasi yang terbaik, 1- untuk prestasi yang paling rendah, rasanya di manakah skalanya? Yang ini, hanya diri sendiri sahaja yang mampu memberikan jawapan yang tepat dan ikhlas.
2) Kalau diberi peluang untuk melakukan sesuatu perubahan, sudah tentu perubahan kepada kebaikan, berapakah bayaran yang sanggup dibayar? Yang optimis, akan menyatakan kesanggupan dan keberahian yang luar biasa. Bimbang, bila masanya tiba, untuk mulakan perjalanan sudah mula goyang dan menggeletar. Bayaran telah dibuat. Komitmen telah ditetapkan. Apa yang lepas, tidak dapat ditarik balik. Maka, pelayaran harus diteruskan jua, walau badai nampaknya semakin kuat menghempas kapal, dan membawa bersama ombak besar dan hujan petir, hanya mereka yang sikapnya optimis sahaja akan berjaya.
3) Beban bertambah seiring dengan kematangan, dan potensi yang ada dalam diri sendiri mengubah persepsi kepada realiti. Kadang-kadang, memang terasa padahnya bila banyak bersuara, banyak juga cacat-celanya, banyak jugalah dosa-dosa terpalit dalam dada; Yang lama, dan biasa akan pantas mengambil kesempatan menolak segala perkara. Kata mereka, nah, padan muka!
4) Hmm... Lagi ditumbuk, lagi ditampi, serba-sedikit, hampir pecah perisai diri. Mungkin ini masanya mengubah haluan. Menetapkan semula sasaran, memantapkan semula pendirian, mengemudi terus pelayaran. Walau apa pun, badai pasti ada di depan. Daripada hanyut-tenggelam di lautan kerana kesesatan, lebih baik karam kerana perjuangan! Kerana Legasi perjuangan pasti akan diteruskan.
5) Berhenti seketika apabila sudah tepu dan telah beku segala yang berlaku. Yang itu hanya sejarah masa dahulu. Sekali lagi, kesakitan dan kepahitan menjadi ubat penawar kekusutan. Tetapkan pendirian; Optimislah bahawa putaran sudah tiba ke titik minimum, dan ini masanya untuk berputar ke arah peningkatan. Segala yang lepas semestinya suatu pengajaran dan iktibar masa depan.
5) Terima kasih pengalaman. InsyaAllah, diizin Tuhan, langkah ini akan diteruskan... (terima kasih kalian)
Fikrah Imayu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan