Isnin, April 20, 2009

Pemugaran Budaya Pendidikan



1) Antara yang perlu ditangani dalam rangka pemugaran budaya ini termasuklah gejala yang disebut oleh Malik Bennabi sebagai al-fikr al-mayyit, iaitu pemikiran dan nilai-nilai positif yang telah mati dilanyak al-fikr al-mumit, iaitu pemikiran dan nilai-nilai negatif pembunuh.

2) Contoh pemikiran dan nilai mulia bangsa kita yang sedang terancam menjadi al-fikr al-mayyit ialah kesedaran tentang maruah atau dignity yang dijelaskan ertinya oleh Syed Hussein Alatas sebagai sifat tahu malu. Orang bermaruah adalah orang yang memiliki kehormatan diri dan kerananya malu melakukan perbuatan hina dan keji. Alatas memberikan beberapa contoh sikap tidak bermaruah atau undignifled, katanya,
“It is undignifled to be subjected to petty corruption and rude treatment. It is undignified to be cheated of your right. It is undignified to be governed by men with criminal minds, men who spend most of their time plotting to cheat and plunder the state”
3) Seterusnya beliau menyebut pula nama Saidina Ali ibn Abi Talib k.w. dalam konteks budaya politik bermaruah. Mengulas sepak terajang politik Muawiyah, Saiidina Ali berkata,
“Dia itu sebenarnya tidak lebih pintar daripada aku, hanya dia sanggup melakukan penipuan. Andainya aku juga sanggup melakukannya, pasti akulah orangnya yang paling licik ( … the most cunning of all men.)
4) Agenda pemugaran kebudayaan tentunya melibatkan seluruh agen pembudayaan terutama pendidikan, yang ketika ini merupakan bidang yang paling bermasalah. Dengan kata lain, pendidikan sedang mengalami krisis berat akibat politisasi dan komersialisasi yang melampau-lampau.

5) Istilah industri pendidikan yang dipakai dengan begitu meluas jelas mengisyaratkan bahawa pendidikan benar-benar telah kehilangan esensi, sehingga ia dirasakan:-

a) lebih mengutamakan penyediaan tenaga kerja daripada pembinaan insan,
b) lebih mementingkan kemahiran daripada kesedaran,
c) lebih berorientasi menyumbat maklumat daripada membina kemampuan berfikir,
d) lebih terobsesi dengan prestasi akademik daripada membina budaya cintakan ilmu,
e) lebih membelenggu daripada memerdekakan,
f) lebih mengindoktrinasi daripada mendidik.


Ternyata pendidikan bukan lagi suatu agen pembudayaan, tetapi sudah menjadi agen dehumanisasi.

Datuk Dr Siddiq Fadzil,
Presiden Kolej Darl Hikmah,
(merangkap Presiden Wadah Pencerdasan Ummah(Wadah))



Tiada ulasan: