Jumaat, Oktober 17, 2008

Kukuhkan ukhuwah; teruskan tarbiyah

Apakah kaedah untuk mengukuhkan lagi tali ukhuwah / silaturrahim sesama kita? Kunci ukhuwah atau kata lainnya adalah perpaduan, bukanlah suatu perkara yang datang dengan sekelip mata. Ia memerlukan suatu pentarbiyahan atau latihan yang berterusan untuk mencapainya. Malah, negara Malaysia sendiri masih mengalami masalah ini walaupun telah merdeka dari penjajah Inggeris lebih 50 tahun. Perbezaannya, ia ditenggelam-timbulkan oleh media dan ahli politik yang suka mengambil kesempatan di atas kesempitan orang lain.

Kalau tidak ada masalah, mana mungkin ada hero atau penyelamat yang merungkaikan masalah tersebut. Inilah asas kepada politik;Ahli politik seharusnya membawa kepada keadaan yang lebih baik. Bagi media pula, the worst story is the best story. Barulah akhbar akan terjual. Barulah stesyen televisyen akan mendapat banyak penajaan. Yang berhati mulia, akan mengambil peluang (take opportunity) untuk menabur bakti dan jasa. Yang berhati busuk, akan mengambil kesempatan (take advantage) di air yang keruh.

Di kesempitan ini, ramai pula yang akan terkeliru siapa kawan, siapa lawan. Cakap siapa yang boleh dipercayai? Konflik peradaban ketatacaraan dalam kehidupan (life ethics) akan tercabar dengan masing-masing akan menonjolkan diri, kumpulan atau fahaman mereka adalah benar dan yang selainnya adalah salah. Warna kehidupan sudah tinggal dua. Kalau tidak hitam, maka ia adalah putih. Kalau tidak melibatkan diri kita, tidak mengapa. Kalau tidak mahu melibatkan diri dan memikirkan tentang Malaysia, lebih baik tinggal dan jadi warga negara lain, atau pun jadilah warga planet yang lain! Memelihara negara (daulah) adalah tuntutan agama, malah mana-mana negara di atas muka bumi ini juga mahukan rakyat yang bersama-sama membina tamadun negaranya.

Pejuang (Mujahid) sebenar tidak dipengaruhi oleh kata-kata orang ramai; Sesungguhnya, kita semakin alpa dan tertipu dengan konsep demokrasi. Yang ramai, tidak semestinya benar, dan begitulah sebaliknya. Tetapkan pendirian berasaskan kepada akal, dan bukan kepada emosi dan sentimen; melainkan pendirian kita dilapik dengan perasaan takut, bimbang, dan punya kepentingan tertentu yang harus dipertahankan. Akhirnya, itulah yang akan menterjemahkan sikap kita atau topeng kita yang sebenar

Maka, ia perlukan sikap mengambil peduli (concern) dengan segala yang berlaku di sekeliling kita. Bukan bermakna harus menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang berbeza pendapat dan pendirian, apa lagi menjadi ahli dan terlibat secara terbuka; cukuplah sekadar mengikuti dengan kekuatan dan keupayaan peribadi. Apa yang paling penting, menyusuri permasalahan ini dengan akal dan ilmu pengetahuan yang adil secara serwajagat dengan dipandu oleh wahyu Illahi dan sunnah nabi.

Soalan bagaimana hendak mengukuhkan ikatan ukhuwah, maka jawapannya- ikhlaskan jiwa; buang segala kebimbangan dan ketakutan; peduli dengan masyarakat sekeliling; terjemahkan ilmu tentang keadilan, kebajikan dan kemuliaan dalam tindakan dengan insan di sekeliling kita.

Kukuhkan ukhuwah, teruskan tarbiyah.
Selamat datang ke alam pejuang agama, dan negara.

Tiada ulasan: