Selasa, Januari 20, 2009

Agenda untuk Maju

Agenda untuk maju

Begitu sinonim perubahan pasti untuk kemajuan. Kemajuan harus bergerak ke hadapan, dan bukan ke belakang. Lantas, penghayatan kepada sejarah adalah perlu, untuk memastikan kita bergerak ke arah yang betul; bukan sebaliknya. Dan untuk maju, adalah tanggung-jawab hakiki setiap umat manusia; tak kira pelajar, mahupun yang sudah habis belajar; termasuklah insan yang dipanggil guru sekalipun. Padahal, pada dasarnya, kita tidak pernah habis belajar sehingga akhir hayat kita.

Daripada sejarah, kita melihat sekeliling, dan sudah tentu, kita akan merasakan bahawa ada sahaja perkara yang masih tidak sempurna dalam diri. Baik untuk diri sendiri, mahupun orang sekeliling kita. Maka, akan wujudlah permintaan. Dalam teori ekonomi, di mana ada permintaan, di situ ada peluang perniagaan. Dalam konteks kemanusiaan, di mana ada permintaan, di situ perlu ada penambah baikan. Dan, di situlah bermulanya, agenda untuk maju ke hadapan, agar setiap permintaan dapat dipenuhi; walaupun mustahil.

Kisah klasik, seorang Pak Tua, bersama anaknya dan keldai mereka; persis mengajar erti memenuhi permintaan manusia yang amat mustahil. Namun, agenda kemajuan harus bergerak. Ertinya, ada permintaan yang mungkin tidak dapat ditunaikan; atau lebih halus, BELUM dapat ditunaikan. Di sini, mungkin Awlawiyat (kaedah menguruskan keutamaan) perlu digunapakai (Yusuf Qardhawi). Barangkali juga, bacaan Priority of Priority (Perkara penting dari yang paling penting), tulisan Steven Covey juga mengutarakan hal yang sama. Kata orang bijak pandai, pemimpin tidak perlu memenuhi segala kehendak anak-anak buahnya; namun, pemimpin yang baik akan memenuhi keperluan mereka!

Lantas, perkara penting untuk terus bergerak ke hadapan, adalah adanya AGENDA. Kata mudahnya, niat dan susunan operasi. Kemudian, langkah kerja yang dilaksanakan harus diusahakan bersungguh-sungguh agar impian memenuhi permintaan akan menjadi kenyataan. Soal hati; soal kroni; soal skeptik; dan lain-lain soal yang selain untuk memenuhi awlawiyat, harus juga diraikan; tapi secara minimum. Dari Awlawiyatnya (keutamaanya), diletakkan pada kedudukan yang bawah. (Penting; tapi bukan paling penting). Posisinya di bawah; dan kadang-kadang, dipadamkan terus.

Akhirnya, soal besar yang perlu ditanya, dan dijawab bersama-sama di dalam hati;
Apa yang penting?

dan jawapannya, KERJASAMA.





Tiada ulasan: