Biasanya, kita akan berterima kasih apabila tiba ke suatu hujung proses. Misalnya, apabila selesai suatu tugasan tertentu yang melibatkan lebih dari seorang, dan akan berpindah dan meninggalkan kumpulan itu, maka, kita akan mengucapkan terima kasih dan mohon kemaafan.
Perlu kah menunggu sehingga ke akhirnya? Kalau mengucapkan terima kasih tiba-tiba; lagi-lagi dalam pertengahan mana-mana suatu perjalanan kehidupan, barangkali seperti buang tebiat! Mungkin kerana itu, ramai dari kita 'simpan' dulu niat untuk penghargaan tersebut.
Barangkali, kita terlupa yang kita belum tentu akan punya peluang untuk menyatakan terima kasih nanti; Bukankah kita tidak tahu apa akan berlaku pada hari esok? Dan, terima kasih juga sebenarnya menunjukkan rasa rendah diri kita, memandangkan kita adalah 'nobody' tanpa mereka dalam keliling kita.
Pernyataan 'terima kasih', bukan sahaja kepada yang berbuat baik kepada kita, malah juga kepada yang (dari istilahnya), berbuat aniaya kepada kita, Yang menyusahkan kita, yang berprasangka buruk kepada kita, yang sentiasa memberi kritikan negatif kepada kita, dan lain-lain lagi. Hakikatnya, kita akan membesar dengan lebih baik dengan mereka ini. Syaratnya, mengambil pengajaran, iktibar, dan bermuhasabah baik-buruk pengalaman tersebut.
Mungkin, selepas ini, kita harus melihat semula- siapa kawan, siapa lawan; atau tidak perlu lagi memberi label kepada mana-mana kenalan kita; dan seterusnya menguntumkan senyuman kepada semua; Kita tidak pernah tahu apa akan berlaku esok!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan