KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Vokalis utama kumpulan Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim (Ustaz Asri) meninggal dunia sebaik sahaja jatuh ketika membuat persembahan di RTM kira-kira jam 11.15 pagi ini.
Menurut saksi, Asri jatuh di hadapannya ketika membuat persembahan itu dan ketika diperiksa dia sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Harakahdaily ketika menghubungi salah seorang petugas pemasaran kumpulan nasyid itu mengesahkan berita tersebut.
Badrulhisham Jamaluddin daripada bahagian pemasaran kumpulan Rabbani mengesahkan bahawa Ustaz Asri meninggal dunia selepas rebah di RTM pagi tadi.
"Saya tidak tahu apa puncanya,"katanya yang sedang dalam perjalanan ke Hospital Pantai ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Dalam pada itu, anggota Kumpulan Nasyid Raihan menyifatkan allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim yang juga vokalis Kumpulan Rabbani sebagai 'pahlawan nasyid' yang sukar dicari ganti.
Salah seorang anggota kumpulan terbabit, Che Amran Ibrahim ketika dihubungi memberitahu, pemergian vokalis nasyid yang bersuara 'emas' itu amat sukar dicari ganti.
"Berita kematiannya yang mengejutkan itu memang memeranjatkan kami, sama seperti anggota kami yang telah meninggal dunia dahulu allahyarham Zaiery yang pergi dengan cara mengejut,"ujarnya dalam sebak menahan kesedihan.
Beliau seterusnya memberitahu, Asri yang bersuara 'emas' sebenarnya ikon kepada kumpulan nasyid yang ada pada hari ini.
Jelasnya, walaupun Rabbani hanya ditubuhkan pada tahun 1998, namun namanya telah lama terkenal dengan seni irama nasyid sejak sekian lamanya khususnya sewaktu menganggoti Nadamurni.
Fikrah:-
1) Pergi pula seorang lagi pejuang untuk pembaharuan dalam dunia muzik alternatif. Semoga beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Berjuang hingga akhir hayat. Al-Fatihah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan