Selasa, Ogos 04, 2009

Tindakan Seterusnya

1) Dari seorang pengajar, kepada seorang pelajar. Dan kemudian, kembali semula kepada tugasan pengajar. Belajar untuk mencari ilmu baru. Ilmu kependidikan yang bakal menjadi nadi bermulanya pendekatan dan wajah baru di kelas; Atau sekurang-kurangnya, kalau tidak mampu dilaksanakan di kelas, ia bakal menjadi pengisian idealism yang disimpan untuk kegunaan masa depan, apabila peluangnya tiba.

2) Bukan mudah melaksanakan pembaharuan. Idealism dan praktikaliti sering kali berkecamuk. Malah, untuk menyeimbangkannya juga menjadi satu taruhan yang bakal menggugat ketidak senangan. Manusia lebih senang dengan mengekalkan status quo. Pelajar juga manusia. Guru juga manusia. Pentadbir juga manusia. Mungkin, apabila didesak, atau terdesak, barulah perubahan dapat direncanakan dengan seadanya. Sudah tentu, perubahan belum tentu menjanjikan penambah-baikan, walaupun di tempat lain, ia berhasil dengan baik.

3) Ilmu yang tidak digunakan, akan hilang. Akal manusia punya memori yang terhad, walaupun punya potensi yang tidak terhad. Apalah maknanya, jika tidak dapat dikongsikan bersama orang lain; atau dicurahkan dalam bentuk pelaksanaan kata-kata yang diterima dari ilmuan; Sepurnama menuntut dan bertapa dengan ilmuan antarabangsa. Soalnya, tindakan yang bagaimana boleh direncanakan selepas ini? Sudah jelas, ia harus dipastikan mampu dinilai dan ditambah-nilainya juga oleh juru-fikir awam yang dikongsikan bersama. Pembelajaran Pengajaran (Lesson Study) boleh menjadi budaya baru dalam aktiviti persatuan keguruan. Di Jepun, ia sudah dimulakan lebih dari 50 tahun. Di Eropah, ia sudah berkembang dengan begitu pantas dalam 20 tahun kebelakangan ini. Sungguh berbeza budaya persatuan guru di Malaysia.

(Sudah lihat, baru sedar, kita tidak ke mana)





Tiada ulasan: