Khamis, Ogos 27, 2009

Kenyataan Media - Kekeliruan Masyarakat Punca Polemik Isu Sebatan Kartika Sari Dewi

Kartika Keputusan hukuman sebatan yang dikenakan ke atas Kartika Sari Dewi Soekarno yang telah diputuskan oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan telah ditangguhkan pelaksanaannya, telah mengundang pelbagai polemik. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan polemik ini tercetus kerana masyarakat masih tidak faham dengan pelaksanaan undang-undang sebatan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Tidak kurang juga yang gerun lalu menentangnya kerana momokan hukuman sebatan ini sangat kejam kerana membawa kepada kecederaan kekal, mengaitkannya dengan gambaran negatif pelaksanaan sebatan di Mahkamah Sivil di bawah Kanun Prosedur Jenayah 1998.

ABIM ingin mengingatkan bahawa hukuman sebatan ini telah diperuntukkan di bawah kuasa negeri, di mana Raja adalah bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama termasuk dalam hal pelaksanaan undang-undang syariah yang diperuntukkan di bawah enakmen ataupun akta di sesebuah negeri.

Di Malaysia, khususnya di bawah peruntukan undang-undang jenayah Islam negeri, pelaksanaan bagi hukuman sebat bagi pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah telah diperkenalkan dan dilaksanakan. Namun demikian, setakat ini hanya negeri Kelantan dan Pahang sahaja yang telah melaksanakan hukuman sebatan ini.

Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah bagi hukuan kesalahan jenayah syariah juga sangat terhad iaitu denda maksimum sebanyak RM 3,000.00, 5 bulan penjara dan enam kali sebatan. Jelas peruntukan berkaitan hukuman 6 kali sebatan ini telah diperuntukkan di bawah Undang-undang Jenayah Syariah dan tidak timbul sama sekali samada Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa atau tidak sebaliknya. Mahkamah Yang Mulia sedang menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya mengikut peruntukan perlembagaan walaupun kuasa yang diberikan sangat terhad.

Selain peruntukan berkaitan pelaksanaan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah, terdapat juga peruntukan lain berkitan kaedah dan pelaksanaan hukuman sebat yang merangkumi alat yang digunakan untuk sebatan dan tatacara pelaksanaannya. Malah, kaedah dan pelaksaaan sebatan ini sangat berbeza dengan pelaksanaan di Mahkamah Sivil sepertimana yang diperincikan di bawah Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Syariah 2002 Negeri Pahang.

Justeru ABIM menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang, yang menjatuhkan hukuman sebatan dan denda terhadap Kartika Sari Dewi Soekarno dan menghentikan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah kerana dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan.

ABIM juga ingin menegaskan bahawa undang-undang Islam berada di bawah kuasa negeri. Apabila Mahkamah Syariah telah memutuskan hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang negeri, yang juga berada di bawah kuasa raja di sesebuah negeri, maka kerajaan persekutuan tidak boleh mencampuri urusan tersebut kerana ia adalah kuasa eksklusif negeri yang diperuntukkan dengan jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam apa jua keadaan sekalipun, hanya mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sahaja (dalam kes ini Mahkamah Syariah itu sendiri) yang boleh mengeluarkan perintah penggantungan tersebut di atas alasan rayuan yang dikemukakan atau apa-apa alasan lain yang munasabah di sisi hukum syarak. Justeru ABIM melahirkan kekecewaannya terhadap campur tangan Peguam Negara yang dilihat bertindak atas desakan pelbagai pihak termasuk tekanan daripada luar negara.

Yang jelas, Kartika Sari telah mengakui kesilapannya, beliau juga telah membuat pengakuan (iqrar) yang cukup kuat dan merupakan bukti yang kukuh bagi pensabitan kes di bawah undang-undang keterangan Islam, malah telah diberikan ruang untuk merayu dalam tempoh tertentu. Beliau memilih untuk menjalani hukuman tersebut dan pilihan tersebut harus dihormati.

Prinsip Kartika Sari dan keluarganya yang nyata sangat menghormati undang-undang dan menjunjung tinggi perintah Mahkamah Syariah wajar dipuji dan dihormati. Isu ini tidak perlu dipolemikkan dan dikelirukan. Malah sewajarnya semua pihak dianjurkan menghormati keputusan Mahakamah Yang Mulia ini dan pendirian Kartika Sari dan keluarganya dalam mempertahankan undang-undang Islam di Malaysia.

Akhir sekali, ABIM menyeru agar hukuman ke atas Kartika Sari Dewi ini dijadikan iktibar dan pengajaran kepada umat Islam yang masih mengkonsumsi arak dan menghentikan segera amalan buruk tersebut. ABIM turut berharap agar umat Islam mengambil keberkatan bulan Ramadhan ini untuk bukan sahaja berhenti menjual dan meminum arak, bahkan semua amalan-amalan yang dilarang oleh Islam.

‘MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN’

FADHLINA SIDDIQ
Naib Presiden (Hal Ehwal Wanita)
Angkatan Belia Islam Malaysia
26 OGOS 2009 / 5 RAMADHAN 1430 HIJRAH


Juga harus baca kolumnis di sini
mstar.com.my -_cangkir_retak

"......Sesuatu yang pasti ialah, insiden Kartika memperjelaskan bahawa rupa-rupanya selama ini hukum Islam menjadi sesuatu yang begitu traumatik, sesuatu yang begitu pelik dan janggal di sebuah negara yang Islam adalah agama persekutuannya dan majoriti penduduknya beragama Islam.


Telah terserlah sebenarnya yang keyakinan dan kesediaan Kartika secara rela dan insaf untuk dihukum mengikut hukum Islam berjaya memeranjatkan ramai pendiri sekular dan penyokong liberal ...."

ZUKRI AKSAH berpendapat, 'permainan silap mata' dan kegagalan menjelaskan secara berterus terang mengapa penangguhan perlaksanaan hukuman terhadap Kartika terpaksa dibuat telah mengelirukan orang awam yang jahil tentang undang-undang.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Selamat Hari Kemerdekaan negara Islam, Malaysia?

Tiada ulasan: