1) Perjuangan mahasiswa seharusnya berpaksikan kepada idealisme dan daya intelektualiti yang tinggi, dengan tiada kepentingan peribadi menjadi taruhan dalam menyampaikan dan bertindak. Namun, seringkali juga, tindakan dan suara mereka ini disalahertikan, dikuda dan dipergunakan, dan tidak kurang juga, mahasiswa itu sendiri yang memilih untuk memihak kepada suara-suara luar politik kepartian; baik pro-kerajaan, mahupun pro-pembangkang.
2) Masakan tidak digunakan sebaiknya, suara mereka bagaikan indikasi kepada corak kepimpinan masa depan negara. Golongan ini bakal menjadi pegawai tinggi dalam kerajaan, ahli dalam pelbagai bidang dalam masyarakat, dan sudah tentu, kader yang cukup berharga bagi parti-parti politik. Cuma, bayangan mereka tidaklah ditonjolkan secara tersurat. Istilah seperti pro-aspirasi, dan pro-mahasiswa sering diguna pakai pada hari ini.
3) Idealisme dan intelektualiti mahasiswa sebenarnya belum cukup matang. Matang dengan erti kata dunia yang mereka pijak, adalah dunia yang serba terkawal dan serba berdisiplin, dan serba sempurna. Malangnya, dunia sebenar tidak seindah itu. Ibaratnya, seorang guru serba mungkin tidak akan melihatkan sikap buruknya kepada anak muridnya, sehinggakan anak-anak murid menganggap dan mempercayai segala yang cikgu katakan melebihi daripada ibu-bapa sendiri.
4) Walaubagaimanapun, perjuangan untuk menjadikan dunia, tempat yang lebih ideal, adalah merupakan perjuangan yang harus ditegakkan dan diterapkan supaya ia dapat didengari oleh mereka yang telah lama tinggal di dunia yang penuh porak-peranda. Penduduk Dunia yang kejam dan penuh penipuan ini harus disegarkan dan disedarkan kembali tentang pentingnya berada dalam lingkungan ideal dan benar. PAda hari ini, benar adalah seperti salah. Malah, yang mana benar, yang mana salah pun sudah caca-merba! LAntaran, suara mahasiswa harus dibiarkan bergema dan didengari seluruh alam.
5) Apa jadi pada masyarakat hari ini adalah hasil mahasiswa masa lalu. Tahun 1975, tahun AUKU lahir. Mahasiswa-mahasiswa selepas tahun itu, kebanyakkannya telah menjadi pemimpin pada hari ini. Lesunya suara mahasiswa selepas AUKU, maka, lesulah idealisme didengari dan diperjuangkan mahasiswa tahun-tahun itu. Lantas, lesulah idealisme mereka sebagai pemimpin pada hari ini. Rubbish in, Rubbish out. Tabik hormat kepada barisan pemimpin yang melahirkan AUKU!
6) Bila lagi mahu mendengar kembali suara idealisme yang tiada kepentingan? Biarkan mahasiswa belajar memahami masyarakat. Sekiranya bunyi suaranya seakan bunyi yang bersetuju mahupun melanggar dasar pemerintah, biarkan ia terus berbunyi. Bunyi itu untuk masyarakat berfikir. Bukan untuk mengindoktrinasi, atau melakukan propaganda. Itu semua kerja-kerja media, dan pengawal media! Pemerintah yang baik, seharusnya bersikap matang, berani berhadapan dengan gelombang dari mahasiswa secara dewasa, rasional dan terbuka hati dan jiwa.
7) Sesungguhnya, adalah amat malang bagi sebuah negara yang sunyi suara mahasiswanya; dan adalah lebih malang bagi sebuah negara yang suara mahasiswanya berbunyi dengan suara palsu tunggangan pihak yang berkepentingan politik kepartian. Dan yang paling malang bagi sesebuah negara, apabila gabungan kebebalan mahasiswanya yang tiada idealisme, tiada ilmu, tiada aktivisme, jiwa penuh emosi kebencian, dan digunakan oleh pihak berkepentingan!
Sebagai bekas pemimpin mahasiswa di universiti, saya percaya di mana ada pihak yang salah, pasti ada pihak yang benar. Dan sebagai ahli dalam masyarakat, fahamilah bahawa yang tersurat belum tentu menggambarkan yang tersirat.
Harus baca:-
>>>>>>> Mahasiswa; berdkwah atau berpolitik? > >>>>>>>>>>>>>
>>>>>>> Mahasiswa, perjuangan politik yang malu-malu >>>>>>>>>>>>>
>>>>>>> Di mana idealisme perjuangan Mahasiswa >>>>>>>>>>>>>>
>>>>>>> Perjuangan mahasiswa tidak perlu anti-establishment >>>>>>>>>>>>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan