Khamis, Ogos 20, 2009

Pembelajaran Koperatif

Pembelajaran kooperatif adalah suatu pendekatan PnP (pengajaran dan pembelajaran) yang terbukti berkesan kepada pelajar, yang melibatkan pendekatan holistik dan berteraskan kepada kecerdikan pelbagai (multiple intelligence), dan pembelajaran bererti (meaningful learning).

Pendekatan ini bersifat berpusatkan pelajar sebagai pemain utama (main players), dengan setiap dari mereka akan berusaha untuk menyelesaikan masalah secara berkumpulan. Secara tidak langsung, maka, semangat kerja berkumpulan (e’spirit de’corp) akan diterapkan. Pergilah mana-mana sekolah pun, hampir 99.9% akan bersetuju bahawa pendekatan ini adalah pendekatan terbaik untuk pembelajaran berkesan (effective learning).

Bagaimana pula dari segi pelaksanaannya? Dari konteks pengajaran (teaching) pula, perbincangan secara tuntas akan melihatkan respons yang berbelah-bahagi. Antaranya:-

1) Sukar melaksanakan di kelas kerana komitmen tugasan lain yang menekan. Maka, pendekatan beritahu dan tunjuk cara adalah yang paling pantas, dan tidak perlukan banyak persediaan.

2) Pendekatan koperatif akan menggunakan masa yang banyak dan sukar untuk menghabiskan silibus dalam masa yang ditetapkan.

3) Suasana pembudayaan di kelas tidak bersifat orientasi pelajar (student oriented), dan bersifat tradisional.

4) Ibu-bapa tidak akan bertanyakan apa aktiviti di sekolah. Mereka akan bertanyakan tentang kerja rumah dan latihan-latihan menjawab soalan, dan melihat keputusan peperiksaan di sekolah pada akhirnya. Pencapaian A menunjukkan anak-anak belajar, jika C-tidak cukup latihan, dan F-tidak buat latihan. Kayu ukur yang digunakan ini tidak memberi peluang kepada perubahan dan pendekatan baru yang sebenarnya jauh lebih baik.

5) Malah, guru lebih berebut-rebut untuk menanda kertas peperiksaan dengan alasan sebagai mudah untuk memberi tips kepada pelajar untuk mendapat markah yang baik (selain mendapat upah menanda kertas). Hasilnya, pengajaran adalah untuk peperiksaan (exam oriented), bukan menuju kepada pembelajaran yang bermakna. (meaningful learning)

Dan lain-lain lagi alasan yang akhirnya menidakkan pendekatan kooperatif di kelas masing-masing. Kesimpulannya, dari segi pembelajaran (learning), komuniti pendidik bersetuju sepenuhnya dengan ‘Pembelajaran koperatif’. Manakala dari segi pengajaran (teaching), tidak bersetuju sepenuhnya.

Dalam apa jua perkara, peringkat permulaan adalah yang paling susah dan sukar. Berilah masa kepada guru-guru untuk membentuk budaya baru dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah; Hakikat ini ditolak secara tidak langsung dengan perubahan dasar-dasar kementerian yang tidak konsisten dengan hujah-hujah perubahan yang longgar, tidak akademik dan berkepentingan politik.

Lantas, tindakan berani daripada guru-guru muda yang masih bersih dari pembudayaan di sekolah serta guru-guru pakar / cemerlang yang punya banyak pengalaman bersama murid-murid, harus mengatur langkah untuk membentuk persekitaran baru. Biasanya, golongan guru baru dipanggil ‘penyapu baru’ lantaran semangat baru dan semangat tinggi yang mereka ada. (Walaupun bertahan dalam 5-10 tahun (maksimum)) Golongan guru pakar ini pula saya panggil ‘penyapu lidi’ lantaran kehebatan mereka dalam suasana sukar.

Pihak pengetua, dan pentadbir pula mesti bertindak luar dari kebiasaan. Pengalaman mengajar 20-30 tahun dahulu harus dirombak, diadaptasi dengan kreatif, dan diolah sebaiknya supaya tidak terikat dengan cara 20-30 tahun yang lalu. Dan ini perlukan keberanian, ketegasan dan kerja kuat yang luar biasa.

Soalnya, berapa ramai yang berani? Berapa ramai yang tegas? Berapa ramai yang masih bekerja kuat luar biasa setelah 20-30 tahun bertugas? (lagi 5-6 tahun untuk pencen)






Tiada ulasan: