1) Apabila sesuatu keputusan dan takdir memihak kepada kita, sudah tentu kita akan merasa sangat gembira; dan kalau sebaliknya, rasa sedih, dan tidak keruan pula. Hakikatnya, kita memang seronok jika menang.
2) Dalam suatu perlumbaan, contohnya lumba lari dalam acara olahraga, seorang atlit telah menang pertandingan dengan berlari bersungguh-sungguh; setelah berlatih saban hari dengan menempuh segala macam kesusahan. Apabila menang, rasa seronoknya adalah berbaloi dengan penat lelah tadi.
3) Sekiranya kalah, rasa seronok juga kerana telah melakukan yang terbaik untuk menang; Takdirnya, masih ada atlit yang lebih baik. Namun, tidak salah juga untuk berasa sedih; Adat pertandingan, tentu ada menang, dan tentu ada yang kalah. Kalahnya, kalah yang bermaruah.
4) Sekiranya menang dengan bermain kotor, rasa seronok juga kerana masih menang. Asalkan menang, lain-lain perkara tidak menjadi hal. Soal menang dengan bermaruah; itu sudah tidak dipedulikan sangat. Asalkan menang. (Ada juga orang yang begini). Baginya, tidak mencacatkan maruahnya dan oleh itu, tidak siapa yang berasa malu. Dengan kata lain, tidak terjejas langsung urusan hidupnya.
5) Maruah adalah hak milik peribadi. Ia adalah pandangan diri terhadap diri sendiri atas sesuatu hal. Maruah harus diletakkan bersama Malu. Ini adalah hak milik peribadi kerana diri sendiri akan meletakkan aras (standard) untuk maruah dirinya. Ada yang meletakkan aras tinggi, ada juga yang rendah.
6) Masalahnya, tinggi dan rendah juga adalah subjektif. Berapa tinggi dikatakan tinggi, dan berapa rendah dikira rendah? Dan kerana aras yang subjektif ini, hal peribadi boleh juga menjadi hal umum. SIfat peribadi boleh juga menjadi sifat umum.
7) Maruah tinggi milik peribadi; jangan pula disalahkan sekiranya masyarakat menilai sebenarnya maruah rendah! Dan begitu juga sebaliknya. Akhirnya, masyarakat akan menjadi penentu kepada mereka yang bermaruah, dan mereka yang tidak punya maruah; walaupun, masyarakat tidak semestinya betul!
8) Ini tidak lagi dibincangkan manipulasi manusia tentang soal kotor dan tidak kotor. Bukankah banyak juga masalah apabila yang kotor, tidak dirasakan kotor? Apabila yang ini tidak difahami, apa guna bicara soal maruah? Ataupun, adakah maruah yang menentukan kotor atau tidak kotor? ke menang, atau kalah?
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah-
1) Pusing-pusing; balik semula kepada tahap keilmuan dan keyakinan peribadi dengan Tuhan dan Rasulnya.
2) Apa tajuk yang sesuai untuk artikel ini?
1 ulasan:
Asas maruah letaknya pada A'QAL. Setinggi mana letaknya akal fikiran seseorang, setinggi itu jualah tingginya maruah dirinya. Sementalah, aqal dipandu dengan DEEN. Sedalam mana seseorang memahami kejadian diri dan tujuan hidupnya, sedalam itu jualah nilai maruah dirinya. Dah cantik tajuk artikel tu.
Catat Ulasan