1) Sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak disangka-sangka dan tidak memihak kepada kita, bernasib malang, tidak berkesan pada mana-mana hasil, gagal dalam mencapai matlamat, atau kehilangan arah, dan seerti dan semakna dengannya, apa yang boleh dilakukan?
2) Kebiasaannya, kita akan mencari kesalahan orang lain. Cari kesilapan orang lain adalah pilihan yang paling popular dan paling mudah; Tujukan sahaja jari-jemari kita kepada mana-mana sahaja orang yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung.
3) Ada pendapat menyatakan adalah lebih baik mencari kesilapan diri sendiri. Lihat kelemahan dalam diri yang menyebabkan perkara itu berlaku. Biasanya, ini diterima sebagai kaedah yang menunjukkan ketinggian pekerti dan lebih kelihatan rendah diri. Ia juga melihatkan diri ini adalah orang yang boleh menerima kesalahan dan kelemahan diri.
4) Sama ada menyalahkan pihak lain atau diri sendiri juga sebenarnya tidak membawa apa-apa erti dan kesan kepada hasil atau peristiwa yang telah pun berlaku. Dan, sebenarnya akan membawa masalah yang sama teruknya dan mungkin lebih besar pada masa akan datang. Bukankah ungkapan 'yang berlalu biar berlalu, dan ambil pengajaran untuk masa depan' merupakan nasihat yang akhirnya diberikan kepada kita oleh penasihat-penasihat di sekeliling kita? Maka, bermain permainan tuduh-menuduh ini sebenarnya tidak membawa kepada ungkapan nasihat tersebut pada akhirnya.
5) Jadi, apa yang boleh dilakukan apabila menempuhi saat malang ini? Menuduh pihak lain akan membawa kepada persengketaan dan lebih banyak tuduh-menuduh akan berlaku. Manakala, menuduh diri sendiri pula akan membawa kepada sindrom fobia dan sikap takut menghadapi risiko dan akhirnya tidak akan membawa kepada kemajuan.
6) Mungkin kaedah yang boleh dikongsi di sini dapat membantu.
Tanyakan kepada diri 3 perkara penting:
a) Adakah saya telah melakukan perkara yang patut dilakukan?
b) Apakah perkara yang tidak patut saya lakukan, telah saya lakukan?
c) Apakah perkara yang boleh saya lakukan, tidak saya lakukan?
7) Keliru?? baca perlahan-lahan setiap soalan tersebut dan jawabnya dengan ikhlas dan secara terbuka. Terbuka di sini bermakna keterbukaan dengan hati dan minda. Tidak perlu mencari dan menuduh kesalahan pihak lain mahupun diri sendiri. Hanya ambil tindakan yang patut selepas menjawab soalan di atas.
8) Tindakannya berasaskan kepada soalan ini:
Dan, apa tindakan saya selepas ini?
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>.
Fikrah-
1) Setiap kali nota motivasi ditulis; sasaran pertama adalah untuk diri saya sendiri; kemudian, barulah pembaca lain!
2) Ini memang bukan berkenaan orang lain atau berkenaan diri sendiri. Ini hanya suatu jalan kebenaran yang tidak popular apabila menghadapi dugaan yang kelihatan malang.
3) Kenapa dikatakan 'kelihatan malang'? Kerana sebenarnya kita tidak tahu yang 'kelihatan malang' itu, sebenarnya bala untuk kita, atau sebenarnya 'rahmat dan nikmat' dari yang Esa.
4) Maka, amat tidak wajar untuk menolak bala atau rahmat kepada orang lain; apatah lagi diri sendiri! Bersyukurlah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan