Khamis, Februari 26, 2009
Budaya Membaca
1) Hari ini, dalam radio era, slot Riuh Pagi bersama Aznil Nawawi dan Din Beramboi, berdebat mengenai amalan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. Ini adalah isu yang semua rakyat Malaysia tahu; tapi, masih tak ambil tindakan sewajarnya oleh kebanyakan rakyat seantero negara.
2) Mengikut kajian, rakyat Malaysia membaca secara purata, 2 helai/muka sahaja setahun. Satu nilaian yang cukup hina untuk masyarakat atau negara yang dikatakan memegang prinsip Islam Hadhari!
3) Di Jepun, kata Aznil, di dalam bullet train, hampir kesemua penumpang membaca sementara sampai ke destinasi mereka masing-masing. Cerita beliau lagi, dia yang tidak punya apa-apa bahan bacaan, dengan malunya, buat-buat baca dan belek-belek tiket train tersebut dan buat-buat sibuk dan penat; ala-ala pelancong yang kepenatan. Rasanya, cerita-cerita sebegini sudah biasa didengari di mana-mana negara maju di seluruh dunia.
4) Kenapa kita membaca?
a) untuk mengetahui apa yang kita tak tahu.
b) untuk mengingatkan kembali apa yang kita terlupa.
c) untuk memahamkan apa yang kita telah tahu, dan mungkin belum tahu.
d) untuk menyeimbangkan idea yang kita telah ada dengan idea baru yang lebih segar.
e) untuk memberi rangsangan kepada akal, atau jiwa, atau rohani, atau emosi supaya lebih terisi.
5) Natijah daripada membaca akan membawa implikasi dan kesan kepada tindakan kita seharian; dan akhirnya memberi refleksi kepada masyarakat pada umumnya. Dengan kata lain, masyarakat yang kusut kehidupannya, tak kiralah dari ekonomi, sosial, pendidikan, dan lain-lain, memberi makna bahawa masyakatnya ada masalah dalam pembudayaan membaca.
6) Bukan bermakna masyarakat yang punya budaya membaca tidak ada masalah; cuma mereka dapat keluar dari kepompong masalah itu lebih cepat dari masyarakat yang sebaliknya. Terpulang kepada aplikasi dan pengkaedahan penyelesaian masalah yang mereka ketahui.
7) Orang tua-tua berkata; manusia yang hebat bercakap tentang idea, manusia yang biasa bercakap tentang manusia yang lain, manusia yang lemah bercakap tentang dirinya sendiri.
(Great men speaks of ideas, lay men speaks of others, weak men speaks of themselves).
Ini juga memberi refleksi kepada tahap keilmuan dalam diri masyarakat. Dengan kata mudah, buka televisyen atau akhbar, berapa lama/banyak kisah tentang idea, orang lain, atau tentang diri/bangsa sendiri?
8) Apa hendak dikatakan, bila mana tokei kedai buku yang menjual buku-buku ilmiah mengadu tidak dapat berkembang di Malaysia? Ironinya, banyak pula kiosk-kiosk menjual majalah, akhbar, komik dan seangkatan dengannya terdapat di tepi-tepi jalan di seluruh negara. Mungkin... masyarakat Malaysia senang dengan budaya bacaan ringan dan menghiburkan. Ironinya lagi, bercakap soal politik, pendidikan dan ekonomi, malah tentang undang-undang juga tak kurang hebatnya di kedai-kedai kopi! Bolehkah kita bayangkan sejauh mana kebenaran dan ilmiahnya sembang mereka ini? atau mungkin inilah taraf kita? Bila bercakap, menggegar bumi, namun hasil untuk panduan generasi masa depan hanya menjadi angin dan disandarkan sahaja pada kenangan.
9) Sedih mengenangkan tahap kesedaran untuk membaca di kalangan umat Islam juga sangat sederhana. Generasi hari ini sudah boleh membaca di mana sahaja, termasuklah di kaca monitor komputer melalui online (internet) mahupun offline. Bagaimana lagi motivasi yang harus disuntik agar rakyat minat membaca? Terpulanglah kepada diri dan keluarga masing-masing untuk menerapkan amalan ini sebagai suatu nilai yang sangat tinggi dalam diri dan keluarga.
10) Saya sangat percaya, segala yang baik itu, harus bermula dari dalam diri sendiri; dan ia harus bermula di rumah. Masih belum terlambat untuk mulakan sekarang; bacalah sebelum Tok Imam bacakan sesuatu kepada anda!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
sememangnya budaya membaca bermula dari rumah. Saya seorang ulat buku yang terpengaruh bila melihat ayah setiap hari membaca suratkhabar. Lama kelamaan I feel passion in reading.. Mula-mula saya membaca kerana terpengaruh bapa namun lama kelamaan ketagih nak tahu benda/ilmu baru..
sampai sekarang saya tak boleh baring tanpa membawa senaskah majalah...tak boleh duduk tanpa tangan mencapai sesuatu untuk dibaca..
dan tidak semua ada budaya tersebut di rumah... Yang paling dikesalkan, di sekolah juga, tidak dibudayakan dengan bahan bacaan bersifat ilmiah, selain dari bacaan buku teks.
dah ada kemudahan internet pun, susah juga nak budayakan membaca. macammana?
Catat Ulasan