1) Mendahului tidak bermakna sudah mencapai kemenangan. Dalam apa-apa pertandingan pun, menang dan kalah diputuskan pada garisan penamat. Dan, apabila satu pasukan berada di hadapan, dengan lain pasukan ditinggalkan di belakang, MUNGKIN pasukan yang di hadapan boleh bersorak lebih kuat daripada lain-lain pasukan; Hanya kelihatan mendahului, belum lagi bererti mencapai kejayaan. Seronoknya bersorak-sorai dalam keadaan mendahului pihak lawan, kadang-kadang terlupa belum lagi melepasi garisan penamat.
2) Hinakah apabila berada dibelakang? Yang belakang biasanya dikatakan Kalah (loser). Mereka diketawakan, malah ada yang memberi takrif; kalah (lose) bererti salah (guilty). Kecaman yang tidak enak didengar, dan kadang-kadang bersifat tidak adil, keterlaluan dan keanak-anakkan sehinggakan anak-anak kecil juga pelik melihat telatah pihak yang 'menang'. Ini suatu persepsi yang salah untuk mereka yang dikatakan dibelakang. Sudah tentu juga, salah(wrong) untuk menyamakan kalah(lose) itu salah(guilty)!
3) Ada ramai antara kita yang sentiasa sukakan kemenangan. Malah, tidak sanggup menghadapi kekalahan sehinggakan sanggup tidak berpihak kepada pihak yang kalah, dan bertindak pula menyokong sesiapa sahaja yang menang; walaupun pada suatu masa, adalah pendokong dan penyokong pihak yang kalah tadi. Ini adalah jenis yang tidak punya jati diri dan bukan rakan sejati. Enggan bersama pada masa susah; Hanya mahukan kesenangan semata-mata. Hakikatnya, tidak sama menang itu benar; tidak sama kalah itu salah.
4) Ya, memang benar; menang adalah apabila satu pihak telah melepasi garisan penamat terlebih dahulu daripada pihak yang lain; Ini suatu takrif yang biasa didengari. Namun, menang juga adalah apabila suatu pihak telah mencapai matlamat dan objektif yang diidamkan. Ia lebih bersifat peribadi dan kemenangan ini akan memberi kepuasan hati dan keselesaan yang lebih bermakna kepada pihak berkenaan. Yang penting, telah mencapai sasaran! Inilah kemenangan yang sebenar.
5) Ya, memang benar; dalam pertandingan, adatnya, ada yang menang dan ada yang kalah. Cuma, kita harus jelas, dalam pertandingan, perkataan menang dan kalah itu hanya objektif tertentu; dan sebagai jalan mudah untuk menyampaikan hadiah. Hakikatnya, semua adalah pemenang apabila sudah mencapai sasaran masing-masing. Yang kalah, hanya yang tidak berusaha; tidak melakukan terbaik, main-main dan dan tidak bersungguh-sungguh dalam pertandingan. Itulah sebenarnya pihak yang tewas. Tewas ini bererti kalah!
6) Boleh juga kita berfikir dan bertindak menjangkaui adat. Tidak semestinya, ada yang menang, mesti ada yang kalah (menang-kalah). Ada keadaan kedua-dua pihak kalah (kalah-kalah); Meskipun suatu pertandingan, seperti merebutkan sesuatu yang sia-sia, atau suatu perebutan yang berpanjangan sehingga menyebabkan perpecahan, perbalahan dan segalanya yang seerti dengannya, akhirnya mungkin ada pihak yang menang. Hakikatnya, yang menang itu jadi abu, yang kalah jadi arang. Dua-dua kalah! Entah-entah, ada pula pihak lain yang mengambil kesempatan di atas pertelingkahan itu.
7) Lantas, ada satu lagi pilihan yang sangat baik dan menarik; iaitu semua pihak menang! (menang-menang). Dengan kata mudahnya; penuh semangat setiakawan. Dalam sukan, dipanggil 'sportmanship' atau 'semangat kesukanan', atau dalam alam politik, dipanggil 'diplomasi'. Tidak perlu berduka cita dalam mencapai sesuatu perkara; di belakang atau di depan, asal diri sudah berusaha dengan keringat serta menggunakan segala kekuatan dalam diri dan sumber-sumber yang ada.
8) Tahniah kepada yang lebih baik dari mereka yang baik-baik; Tidak semua orang berani berada dalam gelanggang; lebih ramai lebih berani di luar gelanggang; jadi tukang sorak; tukang kutuk; tukang bakar; tukang segala tukang; tetapi tidak sebagai pejuang di dalam gelanggang. Maka, berada dalam gelanggang, sudah dikira sebagai pemenang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan