Perihal makna ketuanan rakyat
Ketuanan rakyat yang kita maksudkan adalah demokrasi yang matang di bawah naungan raja beperlembagaan. Demokrasi yang matang adalah demokrasi dimana rakyatnya perkasa, jiwanya merdeka, akalnya pintar, tindakannya dipandu oleh prinsip moral dan idealisme. Demokrasi inilah yang kita perjuangkan. Pohon demokrasi ini akan kita suburkan dengan pembinaan institusi-institusi masyarakat madani, media yang bebas serta bertanggjung jawab dan perlaksanaan undang-undang dengan seadilnya.
Rakyat yang merdeka jiwanya, tinggi akal budinya sentiasa mahukan keadilan untuk semua. Orang Melayu, Cina, India, Iban, orang Ulu mahu membina Malaysia yang boleh mereka banggakan.
Perihal Persaudaraan Manusia
Mereka yang tidak mengenali sejarah akan terperangkap di dalam seribu perbezaan sedangkan Al-Quran al Karim menganjurkan konsep li ta’arafu; agar kamu saling kenal mengenal. Manakala bagi yang yakin dengan jatidiri mereka akan berusaha mengenali yang lain dan meraikan persamaan.
Kung Fu Tze di dalam Lun Yu Buku ke 4 Bab Yuen Yuen ada menukilkan “si hai zhi nie jie xiong di “yang membawa maksud “empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara.”
Khalifah Ali Abi Talib apabila ditanya tentang apakah jenis persaudaraan antara orang Islam dengan bukan Islam. Beliau jawab “Akhukum fil Insaniah” - mereka, yang bukan Islam, adalah saudara kamu dalam kemanusiaan. Ianya jelas menggambarkan prinsip persaudaraan ini.
Ungkapan Khalifah Ali ini adalah senada dan seirama dengan peribahasa Tamil: “Ontre Kulam Oruvane Thevan” (Satu Jiwa Kerana Kemanusiaan)
Perihal Patriotisme Sejati
falsafah negara kebangsaan yang diungkap oleh almarhum Dr Burhanuddin al Helmy dalam karyanya yang berjudul Falsafah Kebangsaan Melayu (1954):
Kita hendak mendirikan negara kebangsaan Melayu di atas dasar kebangsaan, menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas dan sama berhak dan adil, bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit, jauh sejauh-jauhnya dari berbau perkauman dan perasaan kolot dan kuno.
Mana mungkin memperjuangkan kemurnian agama dengan menzalimi yang lain
Perihal cabaran dan liku-liku
Kita semua pengembara menempuh jalan yang sama, dan berusaha memastikan Perubahan terlaksana. Sejarah menjadi saksi betapa ianya jalan berliku; penuh dengan segala macam cabaran dan tentangan. Kita mungkin diserang dari segala arah, namun kita perlu mara dengan yakin.
Seandainya kita istiqamah dengan garis besar haluan perjuangan, kita akan melaksanakan perubahan sedaya upaya, insya-Allah.
(DSAI)
You Know Who
8/3/2009,
Shah Alam, Selangor
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Fikrah-
1) Bukan siapa yang bercakap kita perhatikan.... Tapi apa yang dicakapkan...; yang benar tetap benar, yang batil tetap batil
2) Tetapkan pendirian; teguhkan keyakinan; kuatkan semangat; perjuangan akan tetap diteruskan.
3) Sila baca dari kaca mata serorang idealis dan aktivis; bukan dari kaca mata politikus.
Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan