Isnin, September 08, 2008

Kisah masa dulu, kini dan akan datang

Blog ini adalah didekasikan kepada semua orang. Saya hanya melintaskan apa yang saya rasai sepanjang hidup ini. Tidak kisah sama ada bersifat peribadi mahupun perkongsian ilmu. Rasa seronok untuk berkongsi kisah hidup ini sangat membuak-buak. Seperti segalanya dikumpulkan dalam satu web log yang hendak diceritakan segalanya. Fokus pengkisahan adalah pelbagai. Ertinya, tidak berfokuslah.

kisah hidup setiap orang adalah suatu yang sangat berharga, kerana setiap waktu itu adalah dicatat Malaikat kiri dan kanan. Maka, dosa pahala akan terus berjalan setiap detik, selagi nyawa dikandung badan. Sebenarnya, ini termasuklah apa yang difikirkan (akal), dan dirasakan (emosi / jiwa). Pengalaman bukan berdasarkan faktor usia, tetapi adalah sejauh mana kita berjumpa dan berhadapan dengan manusia yang lain. BArangkali, benar kata orang-orang tua, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapak.

Saya yang berkerjaya cikgu sekolah menengah juga sering kali membawa kata-kata ini sebagai bekalan. Cikgu harus punya ilmu yang jauh lebih tinggi daripada anak-anak muridnya. Dan, sering kali berlaku juga, terdapat anak-anak murid yang mahir dalam banyak perkara, lebih dari cikgu. Perasaan apakah yang timbul, apabila murid bertanya kepada cikgu, dan cikgu menganga tidak mampu menjawabnya? Biasanya, cikgu akan melakukan 'escapisme' dengan menangguhkan soalan tersebut. Jarang juga melihat cikgu bertanyakan kepada seorang-dua anak murid yang memang mahir dalam subjek-subjek tertentu, apa lagi kalau itu subjek yang cikgu tersebut ajar. Si murid, biasanya, segan alah untuk tunjuk power... Bimbang cikgu malu.. barangkali...

Bersikap terbuka dan sentiasa memajukan diri adalah kata kuncinya di sini. Kita semua mahukan penyelesaian masalah segera. Buat apa ditangguh-tangguh. Kalau boleh sesiapa sahaja dapat membantu, ini akan menjadikan kepala tidak kusut masai, ditambah lagi dengan kerja cikgu yang berlambak dengan kerja-kerja keranian yang tidak sudah-sudah selesai. Lupakan soal maruah seketika... Rasanya, anak murid lebih memandang tinggi dengan guru yang boleh menerima dan terbuka sifatnya.

Saya mengkategorikan diri dalam cikgu muda... dengan berlatar-belakang kepersatuanan yang cukup panjang dari zaman persekolahan dahulu sehinggalah hari ini, dan barangkali sampai akhir hayat; biasanya mempunyai pandangan yang agak sedikit mencapah dalam konteks guru dan keguruan. Biasanya, kalau diajak berbincang dengan guru-guru lain yang agak dalam kategori cikgu lama... hujahnya berbeza. Biasanya panas, dan tidak sealiran... seperti 'school of thought' yang jauh berbeza. (Mungkin perasaan saya sahaja)

Nah, blog ini sebagai satu contoh lagi, betapa masih tidak ramai cikgu yang punya blog sendiri. Malah, saya sendiri belajar daripada seorang anak murid saya. Benar kata orang bijak pandai.. Ini masa mereka. Masa muda mereka berbeza dengan masa muda kita dahulu... Masa muda saya, sudah tentu berbeza dengan masa muda cikgu saya dahulu... 10 tahun akan datang, agaknya, anak murid saya sudah berjaya menjadi cikgu, dan ditakdirkan mengajar sama dalam satu sekolah, bagaimana agaknya aliran saya dengan beliau nanti? (aahh... mungkin perasaan saya sahaja)

1 ulasan:

..::aNA sOFieyah::.. berkata...

salam....
huhuh...cikgu,apepun selamat berblog..hehe....sama2 la kite....